Bola Sepak Komentar

Mampukah Perak FC kekal dalam Liga Super?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Perak FC semakin ‘tenat’ dalam mengharungi baki saingan musim ini. Foto: Perak FC

Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN Perak FC adalah satu nama besar dalam senario bola sepak negara dan ramai melahirkan pemain bertaraf bintang yang berjaya mengharumkan nama negeri dan juga negara.

Tahun 2021 adalah tahun ke 100 penubuhan bola sepak Perak dan dalam 100 tahun ini skuad Perak mempunyai satu rekod yang mampu dibanggakan oleh setiap penyokong iaitu Perak tidak pernah turun liga.

Tetapi menjelang penghujung musim Liga Super 2021 ini, sambutan 100 tahun penubuhan Perak FC mungkin dicemari dengan nota buruk apabila mereka mungkin tersingkir ke Liga Premier buat kali pertama dalam sejarah.

Jika ditanya kepada para penyokong mengapa perkara ini terjadi hanya selepas tiga tahun menjuarai Piala Malaysia pada 2018. Kebanyakannya mengarah kepada masalah pengurusan.

Sejak diswastakan menjadi Perak FC, pengurusan dilihat seperti hilang arah dan masih terpalit dengan pengaruh pemimpin politik yang seperti kita tahu lebih menggunakan bola sepak untuk kepentingan peribadi.

Perubahan lanskap politik negara sejak 2018 juga banyak mempengaruhi pembuatan keputusan pengurusan atasan Perak FC. Kini dengan hanya berbaki tiga perlawanan, mampukah Perak FC terselamat dari penyingkiran.

Sejak saingan liga bersambung semula, Perak FC hanya berjaya mengutip satu mata dari enam perlawanan menerusi satu seri dan lima kekalahan dan masih kekal ditangga kedua terakhir hanya dipisahkan oleh UiTM FC.

Pemain-pemain Perak FC terus berjuang biarpun keputusan tidak memihak kepada mereka.

Apa yang malang, Perak FC melepaskan 20 gol dan hanya berjaya menjaringkan tiga gol sahaja. Semua pasukan yang bertemu Perak FC berjaya mencuri kemenangan dan menjaringkan banyak gol.

Tiga baki perlawanan bertemu Kedah, Melaka United dan Sabah bakal menjadi penentu sama ada Perak terselamat atau akan melakar sejarah peribadi buat kali pertama.

Dengan khabar terbaharu yang mengatakan tidak ada jurulatih kelas A yang mahu mengemudi Perak, pihak pengurusan terpaksa mengambil semula Chong Yee Fatt yang sebelum ini direhatkan.

Tiga baki perlawanan bakal menentukan nasib Perak FC.

Apa yang melucukan, Yee Fatt diberikan KPI untuk memastikan Perak kekal di Liga Super yang mana sebelum ini beliau direhatkan kerana dikatakan gagal mengemudi Perak dengan baik. Aneh bukan. Kelakar.

Selamat maju jaya kepada pasukan Perak FC. Buat para penyokong, tabahlah kerana jelas disini bola sepak moden perlu diuruskan seperti perniagaan dan bukannya masih bergantung harap kepada orang politik. Kejor Yob Kejor!.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: