Sebahagian atlet kumpulan ketiga yang berlepas malam tadi.
Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
“PENCAPAIAN Rio 2016 bukanlah nasib semata-mata dan ia perlu diteruskan pada temasya di Tokyo bagi membuktikan mereka mampu bersaing di peringkat antarabangsa,” itulah saranan keyakinan dilaungkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali terhadap kumpulan ketiga kontinjen Malaysia berlepas ke Sukan Paralimpik Tokyo, Jepun, malam tadi.
Tegasnya, dia mahu barisan atlet Malaysia ini dapat membawa semangat skuad Olimpik Tokyo yang menyaksikan jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang merangkul perak dalam acara keirin dan gangsa menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara badminton beregu lelaki baru-baru ini.
Abdul Latif Romly, Muhammad Ziyad Zokefli dan Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi yang merupakan pemenang pingat emas Rio 2016 mengetuai kumpulan ketiga kontinjen Malaysia.
Mereka adalah sebahagian daripada 28 ahli kontinjen negara ke Tokyo hari ini membabitkan 11 atlet dan 11 jurulatih, selain Naib Presiden Majlis Paralimpik Malaysia, Muhd Iqbal Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli serta empat pegawainya.
Kumpulan terbesar kontinjen negara itu bertolak pada jam 10.50 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi pesawat Japan Airlines dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita di Tokyo pada jam 7.05 pagi waktu tempatan esok (6.05 pagi waktu Malaysia).
Barisan atlet lain yang berlepas pada hari ini ialah Wong Kar Gee, Siti Noor Lasah Mohamad Ariffin (olahraga para); S Suresh, Wiro Julin (memanah); Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie (powerlifting); Chew Wei Lun (boccia) dan Abu Samah Borhan (tenis kerusi roda).

Khamis lalu, kumpulan pertama terdiri daripada dua pegawai dan lima atlet berbasikal berlepas manakala kumpulan kedua membabitkan 15 individu diketuai Ketua Kontinjen, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin bersama skuad renang, ping pong, Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd Sofian Hamzah serta staf ISN berlepas pada sebelah malam.
Kumpulan terakhir yang bakal disertai tiga atlet dari skuad badminton adalah kumpulan keempat dan dijangka bertolak pada Selasa ini.
Malaysia akan diwakili 22 atlet para dalam sembilan jenis sukan pada Paralimpik kali ini, selepas berjaya meraih tiga pingat emas dan sebutir gangsa, semuanya menerusi olahraga pada edisi lepas di Rio 2016, yang juga pencapaian terbaik kontinjen Malaysia di temasya itu sejak 1972.
Bagi edisi kali ini, kontinjen negara diletakkan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat emas.
Add Comment