Olimpik 2020

Kisah di sebalik pingat emas Hongchan, “Saya kena berusaha kumpul wang untuk rawatan ibu”


Terjunan sempurna dari Quan Hongchan.

CHINA sememangnya dikenali sebagai ‘pengeluar penerjun’ terbaik dunia dan tidak hairanlah setiap kali temasya Sukan Olimpik, acara terjun dikuasai atlet-atlet mereka.

Namun temasya di Tokyo 2020, penerjun muda berusia 14 tahun menjadi bualan seluruh peminat sukan global.

Apa tidaknya, dengan bertubuh kecil molek, Quan Hongchan mengetepikan semua penerjun dunia lain termasuk rakan senegaranya Chen Yuxi untuk merangkul pingat emas acara 10 meter platform individu wanita.

Ada yang menggelarnya ‘dari planet lain’ memandangkan tiga daripada lima terjunan yang dilakukan pada aksi final mendapat markah penuh iaitu 10mata!. Dan mengumpul mata keseluruhan luar biasa, 466.20.

 

Hongchan menjadi atlet China kedua termuda yang memperolehi pingat emas Olimpik dalam acara terjun selepas Fu Mingxia yang mencatat sejarah memenangi pingat emas acara 10m platform di Olimpik Barcelona 1992 pada usia 13 tahun.

Menurut laporan iNEWS, Hongchan yang lahir di Kampung Maihe, Daerah Mazhang terpilih menyertai pasukan kebangsaan negaranya kurang dalam tempoh setahun.

Persekitaran hidup yang sukar menjadikan remaja itu kuat berusaha dan dia mula bergiat dalam sukan papan anjal ketika berusia tujuh tahun sebelum meningkat dengan dengan cepat dan menyertai Pasukan Wilayah Guangdong pada 2018.

Hongchan menjadi tumpuan dengan mempamerkan terjunan yang sempurna.

Keadaan kesihatan ibunya yang tidak menentu dikatakan menjadi pendorong dan motivasi kepada anak petani itu untuk berusaha keras menempa kejayaan dalam arena sukan.

“Kos rawatan ibu agak tinggi. Jadi saya rasa harus berusaha untuk kumpul wang dan boleh hantar ke rumah untuk rawatan ibu,” katanya dalam temu ramah bersama media tempatan sebelum kejohanan Olimpik Tokyo 2020.

Menurut jurulatih di Sekolah Sukan Zhanjiang bernama Chen Huaming, atlet cilik itu disifatkan mempunyai semangat juang yang tinggi, kuat berusaha dan berani.

Dia ketika ditemu bual agensi berita Xinhua berterima kasih kepada bekas jurulatih dan kedua ibu bapa yang banyak menyokongnya selama ini.

“Saya ingin berterima kasih kerana nasihatkan saya untuk sentiasa bertenang dan beraksi dengan bebas tanpa mengira sama ada saya mendapat pingat atau tidak.

“Saya tidak fikir saya seorang yang luar biasa. Saya kurang bijak dalam pelajaran. Jika anda tanyakan saya soalan (akademik) tiada apa-apa dalam fikiran saya,” ujarnya merendah diri.

Hongchan melalui beberapa siri ujian sebelum terpilih ke skuad Olimpik ke Tokyo.

Apa yang lebih menarik, wajahnya yang sentiasa serius sepanjang aksi final akhirnya dapat dilihat tersenyum selepas bertemu dengan jurulatihnya sebaik sahaja dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Lebih manis lagi buat Hongchan, jumlah markah yang rakam di Tokyo ini adalah yang tertinggi berbanding ketika keputusan Ujian Tiga Station yang dilaluinya sebelum ke Sukan Olimpik.

Pada sesi ujian itu dia mencatat 437.75 mata dan bergelar juara (4 Oktober 2020), naib juara dengan 424.55 mata (14 Mac 2021) dan 440.85 mata pada 13 Mei 2021.

Dia tidak beraksi pada Kejohanan Terjun Piala Dunia Fina di Tokyo Mei lalu yang menyaksikan ratu terjun Malaysia, Pandelela Rinong bergelar juara dengan jumlah 355.70 mata.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: