Olimpik 2020

Bola sepak: Empat pasukan jadi tumpuan aksi separuh akhir

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Brazil antara pasukan yang layak ke separuh akhir.

Oleh: JJFIRDAUS

JUARA  bertahan Brazil semakin hampir untuk mempertahankan pingat emas yang dimenangi pada Temasya Rio apabila layak ke peringkat separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas menumpaskan Mesir 1-0 di Saitama.

Jaringan tunggal Cunha pada minit ke-37 sudah cukup untuk mengecewakan Mesir yang muncul sebagai ‘surprise package’ untuk pergi lebih jauh dalam temasya kali ini.

Tuan rumah, Jepun menggembirakan penyokong tempatan apabila berjaya mengekang New Zealand dan layak ke separuh akhir menerusi penentuan penalti 4-2 selepas terikat tanpa jaringan dalam 120 minit permainan.

Penjaga gawang Jepun, Kosei Tani cemerlang apabila menyelamatkan dua penalti New Zealand sebelum Maya Yoshida tenang menyempurnakan penalti terakhir buat Jepun.

Pasukan tuan rumah Jepun ke separuh akhir.

Jepun bakal bertemu Sepanyol yang layak selepas kemenangan dramatik 5-2 ke atas Ivory Coast dengan tiga gol dijaringkan pada masa tambahan selepas seri 2-2 selepas 90 minit.

Rafa Mir muncul wira dengan jaringan hatrik selepas gol beliau pada minit terakhir mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Sepanyol menambah tiga lagi gol untuk mengesahkan kemenangan dan slot ke separuh akhir.

Satu lagi slot separuh akhir menjadi milik Mexico apabila membelasah Korea Selatan 6-3. Mexico mempamerkan persembahan menakjubkan dengan tiga gol pada setiap babak menjamin pertembungan separuh akhir dengan Brazil.

Peringkat separuh akhir bakal berlangsung pada 3 Ogos dengan Mexico bertemu Brazil di Kashima manakala Jepun dan Sepanyol bakal berentap di Saitama untuk menentukan siapa yang akan layak ke final merebut pingat emas.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: