Olimpik 2020

Bola Sepak: Tujuh pasukan iringi Jepun ke aksi suku akhir


Pemain-pemain Jepun meraikan kemenangan ke atas Perancis dalam aksi terakhir kumpulan. Foto: Getty Images

PASUKAN bola sepak Jepun menggunakan kelebihan dan kesempatan bermain di halaman sendiri untuk layak ke peringkat suku akhir acara bola sepak lelaki temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Samurai Biru layak dengan mencatat tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri untuk menerajui Kumpulan A selepas menewaskan Perancis 4-0 pada perlawanan terakhir kumpulan.

Mengiringi Jepun ke suku akhir adalah Mexico apabila berjaya mengenepikan cabaran pasukan yang sudah tersingkir, Afrika Selatan 3-0 sekaligus meletakkan diri di tangga kedua.

Aksi Kumpulan B pula menyaksikan Korea Selatan cemerlang membenam Honduras 6-0 untuk menjuarai kumpulan dengan enam mata dari tiga perlawanan.

New Zealand berjaya memintas Romania ke tangga kedua Kumpulan B apabila kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dan New Zealand layak dengan perbezaan jaringan seterusnya menghantar Romania pulang.

Aksi pemain Brazil ketika bertemu Jerman minggu lalu. Foto: Getty Images

Mesir melakukan kejutan dalam Kumpulan C apabila berjaya mengenepikan Argentina untuk layak ke suku akhir selepas mengatasi Australia 2-0 untuk menduduki tangga kedua.

Sepanyol pula layak sebagai juara Kumpulan C walaupun diikat Argentina 1-1 tetapi lima mata yang dikumpul mencukupi untuk La Roja junior layak dan menepati ramalan awal.

Pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Brazil berjaya menjuarai Kumpulan D apabila mencatatkan kemenangan ke atas Arab Saudi 3-1 sekaligus mencerahkan peluang untuk mempertahankan pingat emas.

Finalis temasya Rio 2016, Jerman pula terpaksa pulang awal apabila sekadar seri dengan Ivory Coast dan menyaksikan wakil benua Afrika itu layak ke peringkat suku akhir dibelakang Brazil.

Suku akhir acara bola sepak lelaki akan berlangsung pada 31 Julai dengan Jepun bakal berhadapan New Zealand di Kashima manakala Sepanyol bertemu Ivory Coast di Rifu. Dua lagi suku akhir menemukan Korea Selatan dan Mexico di Yokohama serta Brazil bakal menentang Mesir di Saitama.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading