
MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang membawa cabaran pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Beliau berkata kata-kata semangat yang diberikan kepada atlet kebangsaan sudah tentu akan menaikkan semangat mereka untuk menampilkan prestasi terbaik pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Saya mengajak rakyat Malaysia, dalam kita (atlet negara) menyertai Sukan Olimpik, pastinya akan ada cerita penuh duka dan suka, jangan kita ambil satu sudut sahaja bila mana mereka gagal kerana ramai lagi atlet kita masih meneruskan perjuangan.
“Mereka perlukan dukungan dan kata-kata semangat daripada semua rakyat Malaysia… jangan kita terhenti setakat ini (memberi sokongan),” katanya dalam klip video yang dikongsikan kepada media.
Reezal Merican tiba bersama-sama kumpulan terakhir lima atlet negara di Tokyo, pada Ahad.
Terima kasih YB! Semoga doa keseluruh rakyat Malaysia sentiasa bersama barisan kontinjen kita di #Tokyo2020 #DemiMalaysia 🇲🇾 https://t.co/LZoShWOIQp
— Reezal Merican (@reezal_merican) July 23, 2021
Seramai 30 atlet Malaysia bertanding pada Sukan Olimpik Tokyo yang berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Sebelum ini, pada Ahad Ketua Kontinjen Malaysia (CDM) ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Lee Chong Wei, meluahkan rasa sedih dengan komen negatif yang dilemparkan netizen di media sosial terhadap pemain badminton negara.
Sebagai bekas rakan sepasukan, pemenang pingat perak perseorangan lelaki tiga kali pada temasya Sukan Olimpik itu, berkata beliau kecewa dengan komen tersebut selepas kekalahan pemain badminton negara dalam aksi peringkat kumpulan di Tokyo.
Pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon-Goh Liu Ying gagal layak ke suku akhir acara beregu campuran selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut dalam perlawanan Kumpulan D di Musashino Forest Sport Plaza, Tokyo.
Selain Peng Soon-Liu Ying, pasangan beregu wanita Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean juga menghadapi nasib yang sama, selepas tewas perlawanan kedua Kumpulan A mereka ketika menentang pasangan nombor satu dunia dari Jepun, Sayaka Hirota-Yuki Fukushima 21-17,15-21, 8-21.
Add Comment