Olimpik 2020

Bola Sepak: Satu mata diperlukan Jepun sebelum ke suku akhir


TUAN rumah, Jepun memerlukan hanya satu mata dari perlawanan terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke saingan suku akhir acara bola sepak lelaki temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Kejayaan membenam Mexico 2-1 mencerahkan laluan Jepun tetapi terpaksa menunggu perlawanan terakhir menentang Perancis manakala Mexico juga perlu sekurang-kurangnya satu mata dalam pertemuan menentang Afrika Selatan.

Kumpulan B kini terbuka luas selepas Korea Selatan garang membelasah Romania 4-0 untuk memungut tiga mata. Dengan kemenangan itu, semua pasukan dalam kumpulan ini berkongsi tiga mata dan perlawanan terakhir bakal menjadi penentu siapa layak ke suku akhir.

Sepanyol yang diikat Mesir pada perlawanan pembukaan berjaya menewaskan Australia 1-0 hasil jaringan Mikel Oyazabal sepuluh minit sebelum tamat untuk menerajui Kumpulan C dengan empat mata.

Pemenang pingat perak Temasya Rio, Jerman juga kembali berpeluang untuk layak apabila menundukkan Arab Saudi 3-2 dalam Kumpulan D. Jerman terpaksa berhempas pulas untuk menang dan akhirnya menyingkirkan Arab Saudi dari acara ini.

Kesemua perlawanan terakhir Kumpulan A hingga D bakal berlangsung serentak pada 28 Julai ini bagi menentukan siapa yang layak ke peringkat suku akhir.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: