Olimpik 2020

Misi menang beregu lelaki negara jika mahu layak ke suku akhir


Beregu negara perlu menang untuk aksi terakhir kumpulan pada Selasa. Foto: BAM

BEREGU lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan rentak kemenangan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila tumpas kepada pasangan Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dalam aksi kedua Kumpulan D, petang Isnin.

Walaupun menampilkan semangat juang tinggi terutama pada set kedua, pasangan muda negara yang berada di ranking kesembilan dunia itu gagal menyaingi kehebatan juara dunia tiga kali dari Indonesia dalam aksi yang berlangsung di Musashino Forest Sport Plaza

Ternyata gandingan berpengalaman Indonesia yang bermain dengan tenang dan pantas mengatasi pasangan negara yang  tumpas 16-21 di set pertama, dan bangkit pada set kedua apabila mendahului 11-6 pada satu ketika sebelum terpaksa akur di tangan pasangan Indonesia itu 19-21.

Pastinya perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Selasa bertemu wakil Kanada Jason Ho-Shue-Nyl Yakura menjadi misi penting sekiranya mahu layak ke aksi ke suku akhir.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Aaron berkata mereka tidak berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan kerana sering melakukan kesilapan sehingga membolehkan pasangan Indonesia itu mengutip mata mudah.

“Pada set kedua kita bermain dengan baik, tetapi selepas ‘interval’ kami gagal mengekalkan permainan,” katanya dan menambah mereka akan beraksi bermati-matian menentang wakil Kanada itu pada pertemuan pada Selasa untuk layak ke suku akhir.

Ternyata pasangan muda negara gagal menyaingi ketangkasan pasangan berpengalaman Indonesia. Foto: BAM

Jelas Aaron mereka tidak pernah berdepan pasangan dari Kanada itu, sebaliknya hanya menonton video bagi mengetahui corak permainan lawan mereka itu.

Pada aksi pertama, gandingan muda negara ini menumbangkan beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae 24-22, 21-15.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: