Olimpik 2020

Bola Sepak: Dua pasukan wanita tempah slot ke suku akhir


Pasukan Great Britain menempah ke saingan suku akhir selepas mencatat dua kemenangan.

Oleh: JJFIRDAUS

PASUKAN bola sepak wanita Great Britain dan Sweden mengesahkan tempat ke suku akhir acara  Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam peringkat kumpulan.

Britain berjaya menewaskan tuan rumah, Jepun 1-0 untuk layak selepas membenam cabaran Chile 2-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan E tempoh hari.

Dalam satu lagi perlawanan, Canada menghidupkan peluang layak apabila berjaya menewaskan Chile 2-1 untuk menghuni tangga kedua dengan empat mata manakala Jepun ketiga dengan satu mata.

Pendahulu Kumpulan G, Sweden pula selesa mengatasi Australia 4-2 selepas terlebih dahulu menamatkan rekod 44 perlawanan tanpa kalah Amerika Syarikat dengan kemenangan bergaya 3-0 pada perlawanan pertama.

Amerika Syarikat pula berjaya menebus kekecewaan apabila membelasah New Zealand 6-1 untuk mengutip tiga mata dan kini di tangga ketiga di belakang Australia juga dengan tiga mata tetapi dibezakan oleh perbezaan jaringan.

Brazil dan Belanda yang terikat 3-3 hanya memerlukan satu mata sahaja lagi dari perlawanan terakhir menentang Zambia dan China dan dijangka tidak berhadapan masalah untuk layak dan hanya perlu menentukan juara Kumpulan F.

Pasukan Sweden (biru) turut mara ke suku akhir.

Zambia dan China pula berjaya mencuri satu mata apabila seri 4-4 dalam pertembungan yang cukup menarik dengan dua pemain kedua-dua pasukan berjaya menjaringkan hatrik.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan layak ke peringkat seterusnya dengan dua pasukan tempat ketiga terbaik bakal mengisi slot di suku akhir. Kesemua slot hanya akan diketahui pada perlawanan terakhir.

Penyerang Belanda, Viviane Miedema kini adalah penjaring terbanyak dengan enam gol berkongsi dengan pemain Zambia, Barbra Banda yang berjaya menjaringkan dua hatrik dari dua perlawanan walaupun gagal mencatat kemenangan.

Perlawanan seterusnya bakal berlangsung pada 27 Julai ini dengan semua perlawanan dijalankan serentak mengikut kumpulan masing-masing.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: