
PENGENDALI Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mempunyai alasan tersendiri melepaskan dua pemainnya untuk beraksi pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Pemain muda Amad Diallo,19, dan Eric Bailly,27, bakal beraksi di pentas Olimpik bersama pasukan Ivory Coast dan kempen pertama perlawanan bermula 25 Julai ini bertemu Arab Saudi bagi saingan Kumpulan C.
Solskjaer memberitahu dia tidak akan menghalang pemain-pemainnya untuk mencari pengalaman di Tokyo.
“Saya yakin semua orang pasti melihat Usain Bolt atau Ryan Giggs beraksi di Olimpik (Great Britain 2012).

“Apabila negara memanggil nama anda, saya tidak boleh untuk menghalang impian mereka sejak kecil itu,” jelasnya.
Malah Solskjaer percaya, pemain-pemain ini boleh merasai sendiri nilai pengalaman yang mahal ketika di Olimpik.
“Sangat bagus melihat mereka di sana. Walaupun kelab akan memulakan latihan pra musim, tetapi mereka perlu kembali dengan pingat.
“Kami perlukan perasaan yang baik mengenai tempat itu (Tokyo) apabila mereka kembali ke kelab nanti,” tambahnya.






Add Comment