
SEORANG atlet angkat berat Uganda dilaporkan hilang dari ketika kem latihan Sukan Olimpik seminggu sebelum temasya membuka tirainya.
Pihak berkuasa sedang mencari Julius Ssekitoleko, 20, yang gagal hadir dalam ujian Covid-19 dan dikesan tidak berada dalam bilik hotelnya.
“Salah seorang ahli delegasi gagal dikesan dan tidak dapat dihubungi,” kata pihak berkuasa bandar Izumisano dalam satu kenyataan.
“Bandar ini sudah melakukan pelbagai usaha untuk mencari individu berkenaan. Kami sudah membuat laporan kepada pihak polis.”
Kenyataan itu turut memaklumkan, kali terakhir Ssekitoleko dilihat adalah pada waktu tengah malam di dalam hotel oleh rakan atlet.
Atlet berkenaan gagal menghadiri ujian PCR selepas itu dan kegusaran bertambah apabila dia tidak ditemui dalam bilik hotel.

Sekeping nota turut ditemui di bilik hotel Ssekitoleko.
“Saya mahu bekerja di Jepun,” dedah seorang pegawai tempatan mengenai nota tersebut.
Malah Ssekitoleko juga dilaporkan membeli tiket keretapi ke Nagoya, lebih kurang 200 kilometer dari tempat penginapannya sebelum dilaporkan hilang.
Delegasi Uganda berjumlah sembilan orang tiba di Jepun pada bulan lalu dan menjalani kem latihan pra temasya di Izumisano yang terletak di wilayah Osaka.
Namun seorang jurulatih didapati positif pada waktu ketibaan dan ahli delegasi yang lain turut diperintahkan menjalani kuarantin sebelum salah seorang daripada mereka kemudiannya didapati positif.
Kes berkaitan Covid-19 di Tokyo menunjukkan peningkatan dan peraturan ketat dilakukan bagi mengekang penularan sebelum tirai rasmi temasya dibuka pada 23 Julai ini.





Add Comment