EURO 2020

Itali ke final selepas penentuan penalti


Image
Itali akan kembali ke Wembley untuk edisi perlawanan akhir EURO 2020.

ITALI berjaya mengubat kekecewaan tewas kepada Sepanyol di final Kejohanan Eropah sembilan tahun dahulu apabila layak ke final UEFA Euro 2020 dengan kemenangan 4-2 menerusi penentuan penalti.

Dua sepakan penalti Sepanyol gagal disempurnakan oleh Dani Olmo dan Alvaro Morata sekaligus menyaksikan Sepanyol tersingkir dari kejohanan dan Itali kekal di London untuk aksi di pentas akhir.

Pertemuan dua seteru Eropah di Stadium Wembley, London itu berakhir dengan keputusan 1-1 selepas 120 minit yang menyaksikan Sepanyol lebih banyak menguasai permainan berbanding Itali yang dilihat menyusun gerakan dengan lebih berhati-hati.

Pengendali Sepanyol Luis Enrique melakukan beberapa perubahan apabila merehatkan dua penyerang utama, Alvaro Morata dan Gerard Moreno dab memberi peluang kepada Mikel Oyazabal untuk mengetuai serangan.

Separuh masa pertama berakhir tanpa jaringan dengan penjaga gawang, Gianluigi Donnaruma banyak menyelamatkan anak buah Roberto Mancini dari beberapa percubaan berbahaya Sepanyol.

Itali mula mengancam pada babak kedua dan akhirnya hasil satu serangan balas pantas, Itali berjaya mendahului hasil jaringan cantik pemain tengah, Federico Chiesa pada minit ke-60.

Image
Morata menjaringkan gol penyamaan untuk Sepanyol pada babak kedua.

Tersentak dengan gol itu, Sepanyol dengan pantas membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Oyazabal dan memasukkan Morata pada minit ke-62 bagi memantapkan serangan.

Hasilnya pada minit ke-80 penyerang Juventus itu berjaya mengatasi beberapa pertahanan Itali sebelum mudah meletakkan bola di dalam jaring menerusi permainan satu dua dengan Dani Olmo.

Gol Morata itu berjaya mengikat kedudukan 1-1 dan membawa kedua-dua pasukan ke masa tambahan yang menyaksikan tiada pertambahan jaringan dan pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti.

Image
Detik kemenangan untuk Jorginho dan Itali!

Pada penentuan penalti, Dani Olmo menyaksikan sepakannya melambung manakala sepakan Alvaro Morata ditepis Donnaruma untuk memberikan kemenangan buat Itali 4-2 dan melayakkan mereka ke final buat kali keempat selepas kali terakhir layak pada 2012.

Itali bakal bertemu pemenang satu lagi separuh akhir antara England atau Denmark di final yang dijadualkan di Stadium Wembley, London pada 11 Julai ini.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading