
UMPAMA kisah dongeng dilalui Denmark kini menjadi kenyataan apabila melangkah ke pentas separuh akhir kini hanya selangkah untuk berada di pentas final Euro 2020.
Tewas dua perlawanan pertama peringkat Kumpulan B ditangan Finland 0-1 dan Belgium 1-2 sebelum bangkit membenam cabaran Rusia dengan kemenangan 4-1 untuk berada selaku naib juara kumpulan dibelakang Belgium.
Pada aksi kelompok 16 terbaik pula, anak didik Kasper Hjulmand tidak lagi memandang ke belakang apabila berjaya menewaskan Rusia dengan kemenangan bergaya 4-0 mengatasi lawan untuk mara ke peringkat suku akhir.
Berdepan Republik Czech di Stadium Olimpik Baku, Denmark meneruskan kemaraan dengan kemenangan 2-1 untuk berada sebaris dengan Itali, Sepanyol dan England untuk aksi separuh akhir.
Walaupun tidak diberikan perhatian selaku pasukan pilihan pertembungan dengan England di Stadium Wembley pagi Khamis nanti di pentas separuh akhir pastinya menarik dengan rekod pertembungan kedua-dua pasukan memihak England dengan 13 kemenangan manakala Denmark hanya lima.
Namun bagi jurulatih Denmark, Kasper Hjulmand menegaskan barisan pemainnya tidak gentar bertemu England kerana mereka pernah melalui situasi lebih menakutkan iaitu menghampiri kematian secara berdepan.
“Kami berdepan kematian dengan cara yang tidak pernah saya harapkan. Kami hampir kehilangan seorang pemain, sahabat baik, kunci pasukan ini dan berperang dengan emosi seperti orang gila.
“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan dan bagaimana untuk melangkah ke saingan seterusnya. Kami buktikannya dengan melangkah sehingga ke tahap ini dan saya amat berbangga dengan kesemua barisan pemain,” ujarnya.





Add Comment