
PENYERANG muda Denmark, Mikkel Damsgaard pastinya menjadi taruhan pasukan untuk merobek gawang England pada aksi separuh akhir Euro 2020, di Stadium Wembley, pagi Khamis nanti.
Gol pembukaannya ketika melakar kemenangan 4-1 ke atas Russia pada saingan peringkat kumpulan menyaksikannya muncul pemain termuda Denmark meledak gol di Kejohanan Eropah yang membuka mata peminat bola sepak.
Kini pemain berusia 21 tahun itu yang bersama kelab Sampdoria dijangka akan sekali lagi menjadi watak penting bertemu England selepas diberikan kepercayaan membarisi kesebelasan utama ekoran Christian Eriksen rebah di atas padang akibat jantung terhenti.
Baginya, dia tidak pernah mengimpikan situasi yang dilalui ketika ini dan sangat teruja untuk beraksi di Wembley.
“Ia adalah sesuatu yang menakjubkan berada di sini selepas apa yang berlaku,” tegasnya.
Sementara itu, pengendali Denmark, Kasper Hjulmand mengakui Damsgaard seorang pemain yang hebat dan sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali beraksi.
“Dia seorang pemain yang hebat. Dia membuktikannya dan dapat menyahut cabaran pada kempen Euro,” katanya.





Add Comment