
SELEPAS dikritik persembahannya pada peringkat kumpulan, penyerang Sepanyol Alvaro Morata mendedikasikan gol ketika masa tambahan yang membantu pasukannya ke suku akhir Euro 2020 menerusi kemenangan 5-3 ke atas Croatia, kepada keluarganya susulan ugutan dan penghinaan yang mereka terima sejak beberapa hari lalu.
Jelas Morata, dalam tempoh beberapa minggu terakhir ini, kita dapat melihat perkara yang tidak menyebelahi saya tetapi majoriti penyokong Sepanyol masih memberi sokongan.
“Gol ini adalah untuk isteri, anak saya, keluarga dan semua yang memberi sokongan kepada saya. Anda perlu mengharungi saat-saat sukar untuk menikmati detik yang istimewa,” ujarnya.
Morata menjaringkan gol pada minit ke-100 dalam aksi pusingan 16 terbaik itu yang menyaksikan Croatia bangkit selepas ketinggalan 3-1 apabila menyamakan kedudukan 3-3 ketika berbaki lima minit aksi sebelum Mikel Oyarzabal memastikan kemenangan buat Sepanyol.
Sebelum ini Morata mendedahkan keluarganya menerima mesej ugutan daripada peminat selepas terlepas peluang menjaringkan gol dalam perlawanan di Seville yang menyaksikan Enrique menggesa polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, pengendali Sepanyol, Luis Enrique menyanjungi usaha gigig penyerang berkenaan dan sering menurunkannya sebagai kesebelasan utama.
“Dia menguasai bola, kuat dan mendapatkan kami gol. Kami perlu hargai penyerang seperti dia. Saya tak fikir mana-mana jurulatih skuad kebangsaan di dunia ini yang tidak akan menilai Morata dan apa dilakukan kepada pasukan.
“Kami bertuah memiliki Morata dalam pasukan kebangsaan,” katanya.
Kejayaan ini menyaksikan mereka akan bertemu Switzerland pada suku akhir awal pagi Sabtu ini.
Add Comment