NASIB Kylian Mbappe pada kejohanan EURO 2020 kali ini tidak seperti diharapkan. Sudahlah tiada sebarang gol untuk Perancis, Mbappe juga gagal membantu negaranya mara ke suku akhir.
Mbappe adalah bintang baru Perancis sejak prestasi hebatnya pada peringkat kelab dan meneruskan karier gemilang di Piala Dunia 2018. Pada edisi empat tahun itu, Mbappe dinobatkan sebagai pemain muda terbaik dan membawa Les Bleus juara.
Maka tidak keterluan pemerhati bola sepak meletakkan jangkaan tinggi kepada Mbappe untuk ‘meletup’ EURO kali ini. Ia kerana, bappe kini sudah berstatus juara dunia dan dia ligat bersama Paris Saint-Germain.
Musim lalu, Mbappe menghasilkan 42 gol dan 11 umpanan dari 47 penampilan. Dengan skuad terbaik yang dimiliki Perancis, segala pekerjaan Mbappe akan dipermudahkan.
Malahan, Perancis juga memanggil Karim Benzema untuk menemaninya di bahagian serangan. Namun, harapan tinggal harapan, kerana Mbappe sendiri tampil mengecewakan di EURO 2020.
Awal pagi tadi, Mbappe diturunkan penuh 120 minit semasa menentang Switzerland pada peringkat Pusingan 16 di Bucharest yang berkesudahan seri 3-3. Tetapi, Perancis tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti yang mana gagal disempurnakan oleh Mbappe.
“Saya minta maaf untuk penalti ini. Saya mahu membantu pasukan tetapi saya gagal,” katanya dipetik EUROs Tweet.
Fakta menunjukkan, Mbappe gagal mengegar jaring lawan sepanjang penampilan EURO pertamanya. Dia juga kerap mensia-siakan peluang keemasan, iaitu sebanyak empat kali !
Add Comment