
SEPANYOL dan Poland memilih laluan sukar untuk ke pusingan seterusnya apabila sekadar terikat 1-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan E di Stadium La Cartuja, Sevilla.
Kedua-dua pasukan turun mencari kemenangan pertama kejohanan dengan Poland lebih tertekan kerana tewas pada perlawanan pertama manakala Sepanyol sekadar seri.
Perlawanan agak perlahan dengan masing-masing cuba mengelak dari melakukan kesilapan dan sekali sekala mengancam kubu lawan menerusi serangan balas.
Penyerang Sepanyol yang dikritik hebat, Alvaro Morata akhirnya membuktikan mengapa dirinya dipilih sebagai penyerang utama apabila mudah menyambung sepakan Gerard Moreno untuk gol sulung pada minit ke-26.
Poland berpeluang menyamakan kedudukan menerusi penyerang sensasi Robert Lewandowski tetapi beliau gagal menyudahkan bola lantunan Karol Swiderski yang terlebih dahulu terkena tiang untuk kedudukan 1-0 kekal untuk separuh masa pertama.
Babak kedua masih lagi menyaksikan kedua-dua pasukan berhati-hati dalam mengatur gerak sehingga tiba-tiba perlawanan menjadi tegang pada minit ke-54.
Robert Lewandowski menebus kekecewaan babak pertama apabila melonjak tinggi mengatasi pertahanan Sepanyol untuk menyambut hantaran lintang Kamil Jozwiak sebelum menanduk tajam ke penjuru gawang Unai Simon untuk gol penyamaan Poland.
Berselang dua minit, Jakub Moder menghadiahkan sepakan penalti kepada Sepanyol selepas melakukan terjahan ke atas Moreno dengan pengadil, Daniele Orsato mengesahkannya selepas membuat pemeriksaan menerusi video bantuan pengadil (VAR).
Moreno mengambil sepakan penalti tersebut namun gagal menjaringkan gol apabila rembatannya terkena tiang dan lebih malang percubaan susulan dari Morata selepas itu juga tersasar.
Sepanyol melancarkan serangan bertubi-tubi untuk mencari gol kemenangan tetapi ketangkasan penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny sering menggagalkan percubaan Morata dan Ferran Torres.
Kedudukan 1-1 kekal hingga wisel penamat dan menyaksikan kedudukan Kumpulan E terbuka luas dengan Sweden ditangga teratas dengan empat mata diikuti Slovakia tiga mata. Sepanyol ketiga dengan dua mata manakala Poland kekal terbawah dengan satu mata.
Perlawanan terakhir kumpulan pada 24 Jun nanti bakal menentukan pasukan manakah yang bakal bergelar juara kumpulan dan pasukan mana yang bakal layak ke pusingan 16 terbaik.






Add Comment