EURO 2020

Jerman garang benam cabaran Portugal

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

JERMAN mempamerkan permainan mantap dan berkualiti untuk membenam juara bertahan, Portugal 4-2 dalam perlawanan yang mendebarkan di Allianz Arena, Munich.

Dua gol sendiri pertahanan Portugal dan masing-masing satu dari Kai Havertz dan Robin Gosen meletakkan Jerman kembali ke landasan sebenar untuk layak ke pusingan seterusnya.

Bermula dengan baik, Jerman berjaya menggegarkan jaring Portugal pada minit kelima menerusi aksi akrobatik Robin Gosen tetapi dibatalkan akibat Serge Gnabry berada dalam keadaan ofsaid.

Keghairahan Jerman mengasak membawa padah apabila satu serangan balas pantas pada minit ke-15 memberikan gol pertama buat Portugal apabila Cristiano Ronaldo mudah menolak masuk selepas menerima hantaran Diogo Jota yang berjaya melepasi perangkap ofsaid.

Walaupun ketinggalan, Jerman terus mengasak dan akhirnya pada minit ke-35 mereka berjaya menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Ruben Dias yang tertolak ke gawang sendiri selepas diasak Kai Havertz.

Berselang empat minit, giliran Jerman mendahului sekali lagi hasil gol sendiri, kali ini oleh Raphael Guerriero yang juga tertampan ke gawang sendiri selepas cuba menyekat percubaan Gnabry menjadikan kedudukan 2-1 hingga tamat babak pertama.

Jerman meneruskan rentak cemerlang pada babak kedua dan sekali lagi menghukum kealpaan benteng Portugal dengan gol ketiga jaringan Kai Havertz yang mudah menolak masuk hantaran lintang Gosens pada minit ke-51.

Luka Portugal bertambah parah pada minit ke-60 apabila giliran Gosen pula meletakkan namanya sebagai penjaring apabila mudah menanduk masuk hantaran lintang Joshua Kimmich untuk gol keempat Jerman.

Portugal cuba bangkit dan berjaya merapatkan kedudukan apabila Diogo Jota menjaringkan gol mudah hasil hantaran Ronaldo untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Jurulatih Jerman, Joachim Loew membuat beberapa pertukaran untuk memantapkan pertahanan sekaligus memberi sedikit ruang buat Portugal mengatur gerak dan nyaris menambah jaringan menerusi rembatan Renato Sanchez yang menggegarkan tiang gol.

Kedudukan 4-2 kekal hingga wisel penamat dan Jerman kini naik ke tangga kedua Kumpulan F dengan tiga mata, satu mata di belakang Perancis manakala Portugal kini ditangga ketiga juga dengan tiga mata dan Hungary di tangga terbawah dengan satu mata.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: