
Ekslusif oleh MOHD FARIQ
HAJAT penyokong bola sepak tempatan untuk menyaksikan penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula membuat penampilan pertama bersama skuad Harimau Malaya bertemu Bahrain pada esok tidak kesampaian.
Ini kerana tempoh mastautin pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) kelahiran Brazil itu di negara menjadi genap lima tahun pada 31 Mei ini.
Terdahulu, De Paula diumumkan pemain ketiga naturalisasi negara selepas Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi pada Mac lalu.
Bagaimanapun syarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) hanya membenarkan pemain naturalisasi haruslah bermastautin selama lima tahun boleh diturunkan bersama pasukan kebangsaan.
Bagaimanapun, de Paula yang menjaringkan gol pertama bersama skuad Tan Cheng Hoe ketika tewas 1-4 pada perlawanan latihan baru-baru ini tidak menganggap ketiadaan menentang Bahrain akan melemahkan semangatnya.
Sebaliknya dia kekal optimis untuk membantu pasukan negara mencatatkan keputusan positif ketika berkunjung ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun depan sebaik tempoh mastautinnya selesai pada akhir bulan ini.

“Perjalanan saya telah diaturkan oleh tuhan. Saya tidak mahu mengeluh sebaliknya bersyukur.
“Mungkin saya akan lagi terkilan jikalau negara kita tiada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau tiada Covid-19 di mana sudah pasti ketika itu pasukan kebangsaan kita akan mendapat tawaran perlawanan persahabatan tetapi saya tidak boleh bermain.
“Namun situasi pandemik memberikan banyak kesan negatif kepada kita semua tetapi saya cuba melihat daripada sudut positif di mana saya sedang berusaha keras untuk menyesuaikan diri dalam masa sekarang
“Saya kekal yakin dengan rakan-rakan sepasukan di mana setiap yang berada di sini tahu apa tanggungjawab mereka dan tidak kira siapa akan diturunkan sudah pasti mereka akan buat yang sebaik mungkin,” katanya kepada CAKAPSUKAN.
Sebagai rekod, de Paula membuat penampilan sulung dalam kancah liga bola sepak Malaysia pada 2015 bersama Selangor sebelum menyertai Ethnikos Achna FC pada 2016.
Dalam tahun yang sama, de Paula kembali pulang ke Malaysia menyertai PDRM sebelum menyertai Kuala Lumpur dan Perak dan kemudiannya berhijrah ke JDT pada musim ini.
Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).
Add Comment