Permotoran Terkini

Qabil Irfan sedia galas cabaran besar di Portugal


SELEPAS mencuri perhatian pada penampilan sulungnya di pentas Moto4 European Cup 2026, Qabil Irfan Azlan kini bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar apabila turun beraksi pada Pusingan 2 di Litar Estoril, Portugal hujung minggu ini dengan misi memburu podium pertamanya musim ini.

Cabaran di Estoril kali ini dijangka lebih getir apabila pasukan SIC-GRYD Racing tidak menjalani sebarang ujian persendirian di litar berkenaan, berbeza dengan kebanyakan pasukan lain yang sudah mengumpul data menerusi sesi ujian awal sebagai persiapan menghadapi perlumbaan.

Selain itu, tiada lagi sesi latihan tidak rasmi pada hari Khamis seperti kebiasaan sebelum ini, sekali gus menjadikan setiap sesi rasmi yang bermula Jumaat amat penting buat pasukan mendapatkan setup terbaik jentera buat Qabil.

Lebih mencabar, saingan kali ini menyaksikan dua perlumbaan akan berlangsung pada Ahad iaitu Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 dengan setiap perlumbaan membabitkan 15 pusingan, menjadikan setiap mata kejuaraan yang ditawarkan cukup berharga.

Qabil membuktikan kemampuannya bersaing bersama pelumba Eropah apabila menamatkan perlumbaan pembukaan di Barcelona, Catalunya pada kedudukan keempat, meskipun memulakan perlumbaan dari petak kelapan.

Dalam perlumbaan yang berlangsung penuh sengit itu, Qabil mempamerkan kematangan luar biasa apabila berjaya menempatkan diri dalam kelompok hadapan sejak awal perlumbaan dan beberapa kali bertukar posisi dengan pencabar-pencabar utama kejuaraan.

Lebih membanggakan, pelumba muda negara itu turut berjaya bersaing dalam kelompok podium sebelum terlepas peluang menaiki podium sebenar selepas pertarungan mendebarkan sehingga ke garisan penamat.

Keputusan tersebut menyaksikan Qabil mengumpul 13 mata kejuaraan dan kini menghuni tangga keempat keseluruhan selepas pusingan pertama.

Prestasi memberangsangkan di Barcelona bukan sahaja memberikan keyakinan kepada pelumba kelahiran Terengganu itu, malah turut membuktikan bahawa Qabil mampu menyesuaikan diri dengan pantas dalam persekitaran baharu yang jauh lebih kompetitif berbanding saingan yang pernah diharunginya sebelum ini.

Kini, fokus sepenuhnya terarah kepada Estoril, sebuah litar yang terkenal dengan kombinasi selekoh teknikal dan laluan lurus yang panjang, sekali gus menjanjikan satu lagi ujian penting buat pelumba muda negara itu.

Sebelum ini, Qabil pernah mencuri perhatian apabila mencipta kemenangan di litar sama pada Pusingan Keenam Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) tahun lalu.

Bagaimanapun, cabaran Moto4 European Cup dijangka lebih mencabar memandangkan kejuaraan itu menghimpunkan lebih 50 pelumba tetap daripada lebih 20 negara berbeza, selain turut disertai beberapa pelumba wildcard yang menjadikan saingan semakin sengit.

Meskipun sedar cabaran yang menantinya, Qabil optimis pengalaman yang diperoleh di Barcelona mampu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membolehkannya tampil lebih kompetitif dan agresif di Portugal.


Add Comment

Click here to post a comment