Antarabangsa Bola Sepak Semasa Terkini

Cerminan sebenar kemampuan Harimau Malaya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Cheng Hoe bakal melihat kemampuan barisan pemainnya pada aksi menentang Bahrain, malam esok.

PERLAWANAN persahabatan menentang Bahrain malam esok perlu diterjemahkan dengan keputusan positif yang dianggap sebagai tonik tambahan menjelang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 khususnya membabitkan aksi getir berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 3 Jun ini.

Tumpuan diposisi benteng seharusnya diberikan lebih tumpuan jika dilihat keputusan 1-4 berdepan Kuwait sebelum ini dan apa jua keputusan malam esok bakal menjadi cerminan sebenar peluang skuad Harimau Malaya.

Bagi Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, anak didiknya perlu bangkit mencipta keputusan lebih positif bertemu Bahrain memandangkan corak pemainnya yang hampir serupa dengan Kuwait.

“Sudah tentu paling penting kita akan gunakan aksi menentang Bahrain ini sebaiknya dan lihat adakah kita mampu memberi saingan dan menahan tekanan daripada Bahrain, kerana tahap kedua-dua pasukan (termasuk UAE) tidak jauh beza dari segi permainan.

“Kita kena mula sekarang untuk bersedia bermain dengan Bahrain, di mana corak kedua-dua lebih kurang sama. Kita kena tahu bagaimana untuk menangani serangan lawan dan bagaimana melancarkan serangan nanti.

“Jika kita mampu raih keputusan positif, pastinya kita juga sudah bersedia untuk perlawanan sebenar menentang UAE nanti,” katanya.

Bahrain kini menghuni tangga ke-99 dunia bukanlah calang-calang pasukan apatah lagi baru-baru ini pasukan itu hampir memalukan Ukraine apabila mengikat 1-1 skuad yang menduduki ranking ke-24 dunia itu.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: