Komentar

Lupakan sejarah pahit 2015… “Hanya kekuatan mental penentu Harimau Malaya”

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Nukilan: MOHD FARIQ

TANGGAL 3 Jun ini menjadi tarikh paling diingati bukan sahaja bagi pasukan Harimau Malaya sebaliknya kepada kesemua pendukung bola sepak negara.

Ini kerana tarikh tersebut boleh dianggap sebagai talian hidup buat skuad kebangsaan untuk memburu tiket ke Piala Asia 2023 menjelang pertemuan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Di atas  kertas, ia tampak mudah namun sebaliknya apatah lagiapabila bakal bertemu pasukan yang pernah membelasah skuad negara 0-10 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018, pada 2015 lalu.

Bagaimana pun, bagi penyerang naturalisasi, Guilherme de Paula menegaskan dia bersama rakan-rakan sepasukan tidak berminat untuk memberikan tumpuan apa yang berlaku di luar padang.

Sebaliknya pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) yang pertama kali disenaraikan dalam pasukan kebangsaan ini lebih bersemangat untuk membantu pasukan Malaysia menundukkan UAE berbanding memikirkan apakah perkiraan mata akan terjadi kepada skuad Harimau Malaya.

Ketika ditanya CAKAPSUKAN sebelum berlepas ke Bahrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang baru-baru ini, De Paula memberitahu: “Kami tidak perlu berfikirkan mengenainya (keputusan rayuan FAM terhadap FIFA berkenaan pengekalan mata skuad Malaysia dalam Kumpulan G).

“Kita harus realistik dan cabaran utama kita adalah berdepan UAE. Itu yang lebih mustahak.

De Paula menjalani latihan bersama skuad negara.

“Saya masih menaruh keyakinan bahawa skuad yang dibawa oleh jurulatih Tan Cheng Hoe kali ini memiliki kelebihan tersendiri. Masing-masing sebenarnya sudah bersedia untuk memberikan komitmen.

“Bayangkan pasukan kebangsaan sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa dan sudah pasti beberapa muka baharu termasuk saya mahu memberikan sesuatu kepada Malaysia.

“Seperti saya katakan tadi, kami tidak berminat untuk bercakap mengenai sejarah lalu dan kami hanya mahu fokus kepada pertemuan UAE. Kami sedar lawan kami bukan mudah tetapi tidak bermakna kami akan menyerah kalah.”

DEMI LENCANA DI DADA

Skuad Harimau Malaya terlebih dahulu mengadakan siri perlawanan persahabatan bertemu Kuwait pada 20 Mei disusuli pertemuan menentang Bahrain pada 28 Mei ini.

Berbekalkan dua aksi pemanas badan ini, Cheng Hoe dapat menguji barisan pemain sebelum menurunkan kesebelasan terbaik bertemu UAE.

Pun begitu, de Paula menegaskan rakan-rakannya telah bersedia untuk memberikan aksi terbaik dalam dua siri perlawanan persahabatan itu.

Lebih tepat, De Paula memberitahu dia optimis tidak kira sesiapa yang terpilih dalam kesebelasan utama nanti kesemua pemain telah bersedia untuk bermain mati-matian dalam misi mencuri mata berharga.

De Paula yakin hanya kekuatan mental penentu kedudukan Harimau Malaya.

“Kami ada dua perlawanan persahabatan sebelum bertemu UAE di mana ia adalah waktu terbaik untuk menilai kekuatan dan kelemahan pasukan.

“Tidak banyak perlu yang dikatakan kerana saya percaya tidak kira sesiapa yang terpilih, kami semua sudah bersedia untuk membantu pasukan negara mencatatkan keputusan positif.

“Tanpa menyingung mana-mana pihak, saya sendiri bersedia untuk berkongsi ilmu dengan mana-mana pemain. Walaupun saya pertama kali bersama Harimau Malaya tetapi dengan berbekalkan pengalaman sedia ada termasuk saya hampir kenal dengan semua pemain dalam pasukan ini, keyakinan saya bertambah.

“Dalam pasukan kali ini, saya dan Farizal Marlias pemain paling senior daripada sudut usia (35 tahun) tetapi walaupun ini pertama kali menyertai pasukan kebangsaan, saya dan pemain-pemain senior lain bersedia untuk berkongsi ilmu dengan pemain muda.

“Ini kerana kami mahu membawa satu semangat lain daripada yang lain dan kami mahu membuktikan kami adalah satu. Di sini, tiada siapa lebih bagus atau lebih lemah sebaliknya kami semua berkongsi sama sahaja.

“Kejayaan pasukan bukan hadir daripada individu sebaliknya ia adalah datang daripada semangat berpasukan,” katanya.

Selepas menentang UAE, pasukan negara akan berdepan Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan akan menentang Thailand di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: