Komentar

In Tan Cheng Hoe We Trust

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Nukilan MOHD FARIQ

AWAL pagi esok berangkatlah skuad Harimau Malaya terbang berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk aksi kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada 3 Jun depan.

Sebelum itu, pasukan kebangsaan terlebih dahulu mengadakan siri perlawanan persahabatan bertemu Kuwait pada 20 Mei disusuli pertemuan menentang Bahrain pada 28 Mei ini.

Tidak banyak untuk perkatakan tentang situasi semasa berkenaan skuad Harimau Malaya yang senantiasa akan mendapat sokongan teguh daripada penyokong.

Cuma perkhabaran kurang enak yang membabitkan keputusan Korea Utara menarik diri dari kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 sedikit merisaukan peminat bola sepak negara.

Bukan apa, pasukan negara bakal kehilangan mata penting jika Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) agar tidak membatalkan kemenangan ke atas pasukan paling tercorot, Indonesia.

Justeru, pasukan kebangsaan tiada ada pilihan lain melainkan wajib mencatatkan mata maksimum ketika berdepan UAE, Vietnam dan Thailand untuk baki tiga perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Sebagai rekod, Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Atas kertas tugasan itu cukup berat buat pasukan negara.

Bercakap mengenai pertemuan dengan UAE, kita berdepan rekod kurang enak apatah lagi pasukan negara pernah dibelasah 0-10 dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018 pada 2015 lalu.

Berdasarkan perkiraan mata, UAE tidak rela tercicir mata berharga ketika bermain di laman sendiri menentang Malaysia yang menduduki tangga kedua Kumpulan G dengan kelebihan 9 mata.

Satu mata dilihat kejayaan paling ideal buat pasukan negara ketika ini dan tiga mata adalah menjadi bonus buat Harimau Malaya jika mampu tundukkan UAE nanti.

Cheng Hoe tahu untuk melakukan sesuatu dalam misi penting negara bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara automatik.

KEWIBAWAAN CHENG HOE JADI SANDARAN HARIMAU MALAYA

Mungkin tidak keterlaluan juga untuk mengatakan skuad negara kali ini memiliki variasi yang cukup dinamik dan unik.

Menjelang pertemuan menentang UAE, kita dibarisi pemain naturalisasi seperti Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan Liridon Krasniqi.

Tidak dilupakan juga dengan barisan bintang pemain tempatan seperi Safawi Rasid, Ariff Aiman dan Luqman Hakim Shamsudin.

Mungkin tidak keterlaluan juga untuk mengatakan skuad ini antara pasukan kebangsaan paling kuat jika bandingkan dengan sebelum ini.

Justeru penulis sentiasa optimis dan kekal menaruh kepercayaan tinggi kepada Cheng Hoe yang tahu untuk melakukan sesuatu dalam misi penting negara bagi melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara automatik.

Ini kerana penulis yakin bahawa Cheng Hoe tidak mahu mengambil risiko untuk bereksperimen memandangkan pertemuan menentang UAE menjadi misi hidup mati pasukan negara.

Penulis juga bersimpati dengan situasi yang dialami Cheng Hoe terutama ketika menguruskan kem kebangsaan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

Tidak banyak yang boleh dilakukan memandangkan situasi wabak pandemik dalam negara tidak menentu buat masa ini.

Kini, Cheng Hoe berdepan tugas getir dalam mempersiapakan pasukan negara ketika bertemu Kuwait dan Bahrain sebelum bertemu UAE nanti.

Namun penulis menganggap Cheng Hoe yang merupakan satu-satu ya wakil jurulatihan tempatan dalam Kumpulan G wajar diberikan penghormatan daripada rakyat Malaysia sendiri.

Tugas kita cukup mudah. Sentiasa memberikan suntikan semangat kepada Cheng Hoe bersama barisan pemainnya ketika berjuang untuk negara dalam pandemik Covid-19 ini.

Lupakan sengketa, lupakan sentimen dan inilah peluang kita untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan negara.

Ini kerana setiap sokongan daripada peminat bakal dijadikan tonik terbaik buat Harimau Malaya berdepan UAE nanti.

Kepada Cheng Hoe, penulis sentiasa optimis dengan keyakinan anda untuk membantu pasukan negara ke peringkat seterusnya.

Barisan pemain perlulah berjuang sepenuh hati demi kejayaan pasukan.

Buat barisan pemain, penulis berharap kalian sentiasa kekal fokus dan disiplin dan jadikan setiap kata-kata semangat sebagai pembakar motovasi terbaik untuk layak ke Piala Asia 2023.

Lupakan drama di luar padang dan lupakan konflik Korea Utara kerana anda semakin hampir untuk melakarkan satu lagi kejayaan baharu buat bola sepak negara.

Akhir kata daripada penulis, tiada apa perkara mustahil boleh berlaku jika kita semua kekal fokus dan berusaha.

Ini kerana penulis percaya berbekalkan semangat yang tinggi, kita boleh melakarkan sejarah baharu. Ingatlah, seluruh rakyat Malaysia di belakang anda!

NOTA: Mohd Fariq merupakan penulis veteran sukan bola sepak negara lebih 25 tahun.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: