Komentar

Sentimen ‘anak emas’ bakal pembakar semangat A khyar, Hariss Harun tiada galang ganti


 

Oleh MOHD FARIQ

SEDAR tak sedar, Ramadan yang dimuliakan telah berakhir dan kaum muslimin serta muslimat di seluruh dunia telah bersiap menyambut anugerah Syawal tiba pada hari ini.

Lama juga penulis tidak berkarya bercakap mengenai sukan tempatan khusus bola sepak tempatan sepanjang tempoh Ramadan.

Namun tak bermakna penulis tidak mengikuti perkembangan yang berlaku sepanjang penulis tidak berkarya dan kali ini penulis berminat untuk menyentuh isu pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid yang hangat diperkatakan selepas disenaraikan ke dalam skuad kebangsaan yang bakal bermain dalam kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan ini.

Pertama penulis ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemain yang terpilih dan kepada yang tidak berjaya menyertai pasukan Harimau Malaya kali ini tidak bermakna pintu kalian ditutup, teruskan berusaha.

Sejujurnya, penulis agak simpati dengan situasi yang dialami Akhyar yang menjadi mangsa ejekan daripada segelintir penyokong yang tidak berpuas hati dengan pemilihan bekas pemain Kedah itu ke dalam pasukan kebangsaan.

Namun penulis juga berbangga Akhyar masih mampu menangani setiap tohmahan yang dilemparkan dalam media sosial dan inilah lumrah sebagai seorang pemain profesional di mana bukan sahaja fizikal sebaliknya kekuatan mental juga perlu bersama.

Kritikan harus dijadikan pembakar semangat Akhyar berkunjung ke UAE

Berdasarkan statistik persembahan Akhyar dalam kempen Liga Malaysia musim ini jelas ketinggalan jika dibandingkan dengan calon-calon lain.

Berbekalkan kapasiti minit permainan selama 30 minit berbekalkan satu jaringan jelas mengundang pelbagai reaksi daripada pemerhati bola sepak negara.

Ada yang mendakwa pemain Terengganu seperti Hakimi Abdullah yang telah bermain selama 709 minit dan meledak empat gol lebih wajar diutamakan berbanding Akhyar.

Jika kita mahu bercakap mengenai topik siapa lebih layak, sampai esok tidak akan habis kerana tajuknya terlalu subjektif.

Ini kerana masing-masing ada hujah dan pandangan tersendiri di mana penulis menghormati setiap idea yang dilontarkan penyokong.

Namun penulis kekal menaruh kepercayaan tinggi kepada pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang tahu untuk melakukan sesuatu dalam misi melayakkan diri ke Piala Asia 2023 secara automatik.

Ini kerana penulis yakin bahawa Cheng Hoe tidak mahu mengambil risiko untuk bereksperimen memandangkan pertemuan menentang UAE menjadi misi hidup mati pada 3 Jun depan.

Namun Akhyar dapat membuktikan sesuatu sebaik dalam siri perlawanan persahabatan skuad Harimau Malaya bertemu Kuwait (20 Mei) dan Bahrain pada 28 Mei sebagai persediaan terakhir menghadapi baki tiga perlawanan kelayakan.

Malaysia akan bertemu UAE di Stadium Zabeel, Dubai pada Khamis, 3 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) diikuti aksi menentang Vietnam di Stadium Al Maktoum, Dubai pada Jumaat, 11 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia) dan berdepan Thailand juga di Stadium Al Maktoum pada Selasa, 15 Jun 2021 jam 8.45 malam waktu UAE (12.45 tengah malam waktu Malaysia).

Nasihat penulis kepada Akhyar agar tidak sesekali patah semangat dan jadikan setiap kritikan itu sebagai platform untuk terus melonjak potensi diri jika diberikan peluang dalam pasukan kebangsaan nanti.

Ini kerana penulis masih yakin Akhyar masih mampu memberikan sumbangan kepada negara dan inilah masa terbaik buat dirinya untuk membuktikan sesuatu.

Pemergian Hariss Harun dari jdt tiada galang ganti

Sejujurnya penulis berat untuk menelan hakikat selepas Hariss Harun meninggalkan JDT dengan kembali ke kelab negaranya, Lion City Sailors FC yang berpangkalan di Singapura.

Hariss yang menyertai JDT sejak 2014 tidak perlukan pengenalan lagi dalam kancah bola sepak tempatan.

Malah dalam penampilan musim pertamanya bersama skuad Harimau Selatan, dia telah berjaya membantu JDT memenangi Liga Super buat pertama kali.

Bekas kapten skuad Harimau Selatan ini jelas menjadi satu teladan serta contoh yang baik kepada pemain khususnya pemain muda.

Hariss seorang pemain yang komited, tidak banyak menimbulkan kontroversi dan paling mustahak dia adalah seorang pemain yang cukup disiplin.

Bercakap mengenai kejayaan, sudah tentu Hariss telah menikmati pelbagai trofi seperti Piala AFC, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih sejak menyarungkan jersi JDT.

Setelah ketiadaan Hariss, impian penulis hanyalah satu iaitu mahu menyaksikan pemain tempatan berjaya mengisi ketiadaan yang ditinggalkannya itu.

Apa yang pasti, watak Hariss sentiasa menjadi istimewa buat penyokong JDT dan mungkin tidak keterlaluan untuk mengatakan tempatnya tiada galang ganti.

Sebelum penulis berundur, penulis ingin mengajak semua orang agar berdoa terhadap keselamatan rakyat Palestin yang kini sedang bergolak peperangan dengan Israel.

Sama-sama kita berharap Palestin dapat keluar daripada kesengsaraan ini dan menikmati kesejahteraan sama seperti negara-negara berdaulat yang lain.

Akhir kata, selamat hari raya Aidilfitri dan maaf zahir batin kepada kesemua penyokong bola sepak Malaysia.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: