Bola Sepak Komentar

Perak FC jadi ‘anak ayam hilang ibu’ selepas CEO letak jawatan, dilema isu gaji berterusan


Pemain-pemain Perak FC terus cekal bersaing biarpun berdepan dengan dugaan pembayaran gaji.

Oleh: SURYATI MOHD NOR

TEMPOH Liga Malaysia (Liga-M) masih panjang , pastinya pelbagai isu-isu yang tidak dijangka boleh timbul.

Menariknya, isu tunggakan gaji (walaupun bukan isu baharu) terus menjadi masalah buat pasukan yang sudah lama bertapak dalam Liga-M ini.

Musim ini, pasukan Perak FC selepas dua bulan liga berlangsung, isu tunggakan gaji pemain sudah berlaku.

Namun ketika itu pihak pengurusan menutup isu itu dengan membayar tunggakan gaji Februari dan Mac selepas mendapat suntikan dana daripada kerajaan negeri kira-kira RM4 juta.

Seperti yang diduga, isu pembayaran gaji pasukan Seladang ini tidak akan selesai andai kata pengurusan tidak ada sumber kewangan yang kukuh.

lroninya, bergelar sebuah kelab swasta profesional, sepatutnya pelan kewangan lebih sistematik atau sekurangnya-kurangnya kantung kelab sudah tersedia untuk enam bulan ke hadapan sebagai persediaan pembayaran gaji pemain-pemain dan pegawai pasukan.

Malangnya, hari ini berlaku seperti ‘kais pagi makan pagi’ sehingga menyebabkan pemain-pemain dan jurulatih mengambil tindakan memboikot latihan dan berkumpul di depan Stadium Perak Sabtu lalu.

Namun Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC Rizal Ali Naizali mendedahkan semuanya sudah selepas selepas bertemu dengan pemain-pemain dan sehari selepas itu kelihatan pasukan ini beraksi dengan baik bertemu Sri Pahang FC Ahad lalu.

Sehari selepas drama panas di depan Stadium Perak itu, Rizal mengambil keputusan meletak jawatan sebagai CEO.

Pemain-pemain Perak FC memboikot sesi latihan Sabtu lalu.

Apakah Rizal sudah buntu untuk mencari jalan penyelesaian pasukan ini? Realitinya, ketika dia menerima jawatan ini beberapa bulan lalu, isu ini sudah pun timbul.

Adakah dengan peletakan jawatan ini isu gaji akan selesai memandangkan tempoh Liga Super masih lagi panjang, dan pastinya gaji pemain dan pegawai pasukan akan terus berjalan.

Biarpun dilaporkan Rizal akan bertanggungjawab atas masalah yang berlaku terhadap pasukan ini, namun masih menjadi persoalan siapa yang sanggup mengambil alih tugas yang ditinggalkan secara tidak ‘clean’ ini biarpun dia sedia membuka laluan kepada mana-mana pihak yang berminat menerajui Perak FC.

Situasi terumbang-ambing ini pastinya memberi kesan kepada pemain-pemain yang setiap bulan perlu memikirkan sama ‘ada gaji atau tidak bulan ini’.

Siapa pula yang sudi mengambil alih tugas penting kelab ini?

Seperti diduga, susulan situasi yang tidak menentu itu membuatkan kapten pasukan Shahrul Saad meminta untuk dilepaskan bagi mencari haluan baharu yang lebih ‘selamat’.

Shahrul dan seorang lagi rakannya Gulherme de Paula  secara rasminya telah mengikat kontrak baharu bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Malah Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mahu bekas CEO ini melunaskan tunggakan gaji pemain Perak FC biarpun sudah meninggalkan kelab.

Pemangku Presiden Pafa Datuk Muhammad Yadzan Mohammad berkata ini kerana tunggakan gaji berkenaan masih belum selesai dan tiada mana-mana pihak yang sanggup bertanggungjawab ke atas masalah tersebut.

“Memang dia letak jawatan tetapi adakah dengan peletakan jawatan itu masalah tunggakan gaji pemain ini selesai? Tidak boleh sewenang-wenangnya ambil tindakan begitu tanpa ada solusi untuk mengubah keadaan ini.

“Pafa sendiri tidak akan bertanggungjawab untuk perkara itu kerana kita sudah maklumkan kepada mereka sebelum ini bahawa apa jua perkara yang membabitkan Perak FC adalah di bawah tanggungjawab sepenuhnya pengurusan Perak FC,” jelasnya kepada Bernama.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: