
Oleh : Subkhi Sudarji
PEREBUTAN posisi sayap kanan skuad Harimau Malaya kini dilihat sengit dengan beberapa pemain baharu yang mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia turut dibawa Tan Cheng Hoe bagi menggalas cabaran baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, Jun nanti.
Mohamadou Sumareh, Arif Aiman dan Akhyar Rashid antara beberapa pemain yang boleh bermain di bahagian sayap kanan.
Namun bagi pemain utama skuad kebangsaan, Safawi Rasid tetap ingin mempertahankan posisinya walaupun ketika ini beberapa pemain lain turut berpeluang mengalas watak berkenaan.
Jelas Safawi, persembahannya ketika ini sudah semakin baik malah menunjukkan peningkatan positif selepas hampir sebulan berehat akibat kecederaan lutut yang dialaminya dalam saingan Liga Super.
“Semua sedia maklum bahawa kecederaan lutut agak susah untuk pulih malah mengambil masa agak lama untuk baik.
“Semua pemain akan berikan komitmen 100 peratus saya apabila bermain untuk JDT akan berikan terbaik untuk pasukan dan situasi itu sama bagi skuad kebangsaan.
“Kita sudah lama berehat iaitu hampir setahun dan sekarang ini selepas Hari Raya Aidilfitri akan turun untuk latihan sekali gus tidak sabar beraksi bersama rakan sepasukan,”
“ Walau apa pun belah kanan saya nak, saya tidak kisah siapa bermain di sebelah kanan namun perlulah beri 100 peratus komitmen nanti,” katanya.
Untuk rekod, skuad kebangsaan akan dihimpunkan pada 16 Mei sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei mengharungi dua aksi pemanas badan berdepan Kuwait dan Bahrain.
Perlawanan persahabatan ini sebagi persiapan menghabiskan baki kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai yang menyaksikan skuad kebangsaan akan berdepan UAE terlebih dahulu sebelum menentang pendahulu, Vietnam dan mengakhiri kempen peringkat kumpulan dengan aksi bertemu Thailand.
Harimau Malaya kini menghimpun sembilan mata untuk berada di tempat kedua di belakang Vietnam (11 mata) sementara Thailand berada di tempat ketiga dengan lapan mata dan UAE (enam mata).





Add Comment