
PENGURUS Manchester City, Pep Guardiola, harus berasa cemas menjelang pertemuan dengan Chelsea di final Liga Juara-Juara, demikian kata legenda bola sepak England, Michael Owen.
Ia kerana The Citizens sudah dua kali dikalahkan The Blues. Chelsea akhir minggu lalu mengalahkan Man City 2-1 di Etihad yang membuatkan pesta gelaran juara Liga Perdana Inggeris tertunda seketika.
Sebelum itu, Chelsea bimbingan Thomas Tuchel, meraih kemenangan pada perlawanan separuh akhir Piala FA.
Kedua-dua pasukan selepas ini akan kembali berentap di final Liga Juara-Juara pada 30 Mei depan.
“Saya rasa Man City adalah pasukan terbaik, mungkin kelab terbaik di dunia saat ini. Pasukan terbaik di Eropah.
“Tapi masalahnya, kadang-kadang anda bertemu pasukan yang sangat-sangat sukar dan mereka tidak sepadan dengan anda. Saya fikir Chelsea ini adalah pasukan yang paling liat untuk dilawan masa ini,” kata Owen seperti dipetik dari Express.
Pandangan disuarakan bekas pemain Liverpool, Real Madrid dan Manchester United itu ada benarnya kerana Chelsea semakin mantap sejak dikendalikan Thomas Tuchel. Kelab asal London itu dilihat cukup solid di barisan pertahanan.





Add Comment