Basikal

‘Ubah mentaliti, lupakan makanan, keluarga’


Azizulhasni Awang

 

SESEORANG atlet jika mahu mencapai kejayaan harus berkorban dan tidak memikirkan hal remeh seperti bab pemakanan dan faktor berjauhan dengan keluarga serta mengubah mentaliti mereka.

Itu nasihat berguna dikongsikan jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang ketika sesi webinar bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), semalam.

Dalam webinar itu, Azizulhasni memberi tips kepada atlet negara yang berhajat atau mempunyai peluang berkelana ke luar negara seperti dirinya.

“Kalau kita hendak pergi lebih jauh, perlu ada pengorbanan. Lagi besar cita-cita kita, maka perlu lebih besar juga pengorbanan. Saya sendiri terpaksa tinggalkan mak dan ayah, tinggalkan kampung halaman dan rakan-rakan.

“Saya tinggalkan usia remaja di mana ketika itu rakan sebaya dapat melakukan apa sahaja di Malaysia,” katanya yang berpangkalan di Melbourne, Australia sejak 2007.

Jelasnya lagi, hal kecil seperti itu yang akan menggagalkan hajat mana-mana atlet jika mendapat peluang terhidang di depan mata.

“Sbagai atlet mereka perlu sedar bahawa tanggungjawab yang dipikul di bahu jauh lebih besar berbanding memikirkan perkara kecil seperti rindukan makanan Malaysia dan berjauhan dengan keluarga,” kongsinya lagi.

Pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu juga menegaskan, untuk bergelar juara dunia sepertinya, seseorang atlet itu perlu mengubah mentaliti mereka.

 

 

 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: