
Kelantan berkongsi mata dengan Kuala Lumpur setelah terikat 1-1 pada perlawanan pembuka tirai saingan Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.
Tuan rumah mula menguji Kuala Lumpur menerusi rembatan Mohd Nazrin Mohd yang sedikit tersasar pada minit kesembilan sebelum Muhammad Fakrul Aiman Sidid membalas dengan merembat tepat ke arah penjaga gol, Mohd Faridzuean Kamaruddin, seminit kemudian.
Rentak permainan tuan rumah bagaimanapun terganggu apabila pemain import tengah mereka, Kang Seung-jo mengalami kecederaan memaksa dia dibawa keluar pada minit ke-14.
Aksi selepas itu tampak hambar malah lebih banyak drama kekasaran dicetuskan pemain kedua-dua pasukan.
SehInggalah minit ke-27, Kelantan kembali mengatur serangan tetapi percubaan menarik Mohd Danial Ashraf Abdullah ditepis keluar Mohd Zamir Selamat.
Peluang terbaik tuan rumah untuk mengatasi pelawat hadir seminit selepas itu apabila Masaki Watanabe menanduk bola kepada Lazarus Kiambi tetapi sepakan gunting penyerang import Namibia itu melewati palang.
Minit-minit akhir babak pertama giliran Felix Chidi Odili berpeluang mencipta nama tetapi percubaan luar kotak penalti dikeluarkan pertahanan veteran Kuala Lumpur, Mohd Shukor Adan sekali gus terselamat gawang pelawat daripada dibolosi.
Bersambung babak kedua, Kelantan memperoleh sepakan penalti setelah bola terkena tangan Mohd Qayyum Marjoni Sabil dan Kiambi yang mengambil tanggungjawab itu mudah menewaskan Mohd Zamir untuk meletakkan tuan rumah mendahului 1-0.
Pelawat berpeluang mengikat kedudukan pada minit ke-59 menerusi gerakan Ahmad Ezrie Shafizie Sazali namun tampanan kurang kemas kapten, Paulo Josue menyaksikan bola sedikit tersasar, pada minit ke-59.

Aksi kembali rancak dengan tuan rumah melancarkan serangan tetapi percubaan leret Mohd Danial Ashraf hanya sedikit serong di gawang Kuala Lumpur, seminit kemudian.
Anak buah Yusri Che Lah kembali bersemangat memburu gol tambahan tetapi rembatan Mohd Danial Ashraf sekali lagi menggegar tiang disusuli tandukan Chidi Odili diselamatkan Azammat Baimatov ketika Mohd Zamir tertewas diposisinya, pada minit ke-66.
Pelawat yang terdesak mencari gol penyamaan memasukkan Nicolas Alejandro dan Dzulfahmi Abdul Hadi pada minit ke-72 dan mereka hampir merealisasikannya kalau tidak kerana bola tandukan Kuoassi Francis Kone singgah dipalang, dua minit selepas itu.
Tempoh 10 minit terakhir menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi Kiambi terlepas peluang untuk menambah jaringan apabila gagal memperdayakan Mohd Zamir ketika berdepan situasi satu lawan satu dengan penjaga gawang Kuala Lumpur itu, pada minit ke-84.
Francis Kone akhirnya menyelamatkan maruah Kuala Lumpur apabila menanduk masuk gol penyamaan hasil hantaran Dzulfahmi, tiga minit sebelum permainan berakhir.
Add Comment