Uncategorized

SEMASHUR tepati ramalan ke suku akhir

Juara bertahan, Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR) mempamerkan prestasi memberangsangkan untuk melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan Ragbi MCKK Premier 7s edisi ke-10 di Kuala Kangsar esok.

Pasukan itu dilihat tidak mempunyai masalah untuk mencatat kemenangan ke atas SMK King George V 17-5 dan SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab 31-12.

Namun, rekod cemerlang SEMASHUR sedikit tercalar selepas tewas kepada Maktab Tentera Diraja 7-20 dalam aksi Kumpulan A.

Keputusan tersebut bagaimanapun tidak menjejaskan harapan SEMASHUR untuk mara ke pusingan suku akhir menentang English College (EC) esok.

Ketua jurulatih SEMASHUR, Mohd. Soleh Abdul Hamid berkata, kerja keras dan komitmen yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya cukup membanggakan meskipun masih lagi kepenatan kerana mereka baru sahaja pulang daripada menyertai kejohanan MSSM Selangor di Bestari Jaya.

“Saya sangat berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan oleh pemain sepanjang hari ini selepas merekodkan dua kemenangan penting. Namun, harus diakui mereka tidak berada pada tahap 100 peratus.

“Ini kerana pasukan baru sahaja pulang daripada menyertai kejohanan peringkat negeri Selangor di Bestari Jaya pada Khamis dan kemudian bertolak ke Kuala Kangsar pada Jumaat. Secara keseluruhan, saya memuji barisan pemain yang memberikan impak tersendiri meskipun kami tewas kepada RMC dengan keputusan yang sedikit mengecewakan khususnya selepas dibolosi 20 mata.

“Untuk aksi suku akhir esok, saya hanya boleh berharap pemain dapat cergas sepenuhnya selain memberi motivasi bahawa mereka boleh mempertahankan kejuaraan untuk edisi kali ini,” katanya.

Sebagai rekod, ini merupakan edisi ke-10 kejohanan MCKK Premier 7s dilangsungkan sejak 2011 dengan melibatkan penyertaan penuh 24 pasukan tempatan.

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: