Uncategorized

Burn kejar masa bentuk Perak II


Abu Bakar ketika ditemui media selepas perlawanan berakhir.

Jurulatih Perak II, Abu Bakar Fadzim mengakui dia kini mengejar masa mempersiapkan pasukan sebelum tirai Liga Premier dibuka, pada 1 Mac ini.

Walaubagaimanapun, pengendali itu kekal tenang dan memandang positif terhadap usaha barisan kejurulatihan membentuk pasukan pembangunan itu.

Menurutnya, kekalahan 0-2 kepada Kelantan dalam aksi persahabatan di Kota Bharu, malam semalam, memberikan satu pengajaran kepada dia untuk memperbaiki kelemahan pasukan.

“Saya kejar masa kerana pasukan ini baru dibentuk 2 Januari lalu, selepas menjalani latihan kita uji pemain import dalam perlawanan persahabatan.

“Ini aksi kedua selepas kita menang ke atas Sarawak United. Saya dalam proses mengenali kekuatan dan kelemahan (pasukan) apa yang kita lihat penalti Kelantan dan kelekaan dalam lima minit pertama babak kedua, tiga (pemain) nak pergi menyerang tapi kena counter attack (serangan balas pantas) tapi itu okey,” katanya kepada Cakap Sukan sejurus perlawanan itu.

Pada pertemuan tersebut, Kelantan mendahului 1-0 menerusi sepakan penalti Rhulani Manzini (m-37) sebelum Nik Akif Syahiran Nik Mat melengkapkan gol kedua pada minit ke-54.

Sementara itu, pengendali yang dikenali panggilan Burn itu memberitahu, setakat ini Perak II sah menandatangani Bruno Bezerra dari Brazil dan Tarik Isic (Bosnia) mengisi kuota pemain import.

“Cuma malam ini saya kena muktamadkan lagi dua pemain di bahagian tengah dan serangan.

“Saya akan buat keputusan dalam minggu ini untuk mencukupkan kuota empat pemain import,” katanya.

Ketika ini, tiga pemain asing iaitu Warlei Antonio de Paula (Brazil), Sacha Petshi (Perancis) dan pemain kebangsaan Uzbekistan, Jakhongir Abdumuminov masih mencuba nasib bersama Perak II.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d