
PJ City nyata tidak tergesa-gesa memburu pemain import berkualiti bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.
Setakat ini, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu baharu mengikat dua pemain baharu iaitu penyerang kebangsaan Guinea, Demba Camara dan Kim Bong Jin (Korea Selatan).
Jurulatih PJ City, K Devan dipetik berkata, kehadiran dua pemain itu mampu membentuk kekuatan pasukannya berdasarkan pengalaman mereka.
“Kim (Bong Jin) pernah bermain dalam Liga Vietnam bersama kelab Hoang Anh Gia Lai musim lalu selain Kitchee FC (Hong Kong) dan beberapa kelab di negaranya seperti Gyeongnam FC.
“Camara pula seorang penyerang dan memiliki larian pantas. Dia pernah beraksi di Liga Turki dan saya yakin dia akan membentuk gandingan mantap bersama Washington Brandao,” katanya dalam The Star.
Brandao merupakan satu-satunya pemain import musim lalu yang dikekalkan oleh pengurusan PJ City, pada tahun ini.
Jelas bekas pengendali Negeri Sembilan, Kelantan dan Pulau Pinang itu, pasukannya masih memburu baki dua pemain import termasuk dari Indonesia dan Filipina untuk mengisi kuota pemain Asia Tenggara.
Kami telah kenal pasti seorang pemain Indonesia yang mempunyai pasport Belanda manakala pemain Filipina itu mempunyai darah kacukan British,” ujarnya.
Add Comment