
TASIK Puteri Golf & Country Club (TPGCC) melakar sejarah tersendiri apabila menganjurkan edisi sulung Media Cup, menghimpunkan 40 wakil media arus perdana terkemuka Malaysia bersama barisan influencer atau pempengaruh media sosial sukan golf.
Acara sukan ini bukan sahaja mengetengahkan semangat persaingan sihat, tetapi turut meraikan kesatuan komuniti golf melalui penyertaan pemain media tradisional dan pencipta kandungan digital.
Pasukan Pempengaruh atau influencer media sosial sukan golf memenangi edisi sulung Piala Media 2025 selepas menewaskan pasukan Media Malaysia dalam saingan sengit di Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC), baru-baru ini.
Dipimpin Nor Akmar Ahmad atau turut dikenali Bangkema selaku kapten, pasukan pempengaruh media sosial ini berjaya mencatatkan 328 mata untuk mengenepikan cabaran pasukan Media Malaysia diketuai Ismadi Abdul Manap dengan kelebihan 10 mata.
Penganjuran kali pertama ini menyaksikan format media menentang pempengaruh yang berjaya mencetuskan persaingan mesra dan meningkatkan interaksi antara peserta dari dua ekosistem media berbeza yang kini bergerak seiring dalam industri sukan.
Penganjuran Media Cup kali ini hadir pada detik istimewa buat TPGCC, susulan kejayaan berganda merangkul dua gelaran kebangsaan pada awal tahun ini yang dinobatkan sebagai Padang Golf Awam Terbaik dan Destinasi Golf Pelancongan Terbaik Malaysia pada Anugerah Industri Pelancongan 2025 itu.
Pengurus Besar Tasik Puteri Golf & Country Club, Nor Afendi Mohd Razlan, objektif utama penganjuran bukan sekadar menentukan juara, tetapi memperkukuh hubungan, memupuk kerjasama, serta mengiktiraf peranan penting media dan pencipta kandungan dalam memacu perkembangan dunia golf moden.
TPGCC menzahirkan penghargaan kepada semua wakil media dan influencer atas sokongan berterusan serta kesudian meluangkan masa menyertai edisi sulung ini.
Dengan kejayaan penganjuran pertamanya, TPGCC dengan bangga mengumumkan bahawa Media Cup akan diteruskan sebagai acara tahunan rasmi kelab.
Bermula tahun hadapan, para peserta boleh menjangkakan pengalaman yang lebih bertenaga, interaktif dan meriah dengan penyertaan media yang lebih luas serta pelbagai aktiviti tambahan.
Media Cup diharap menjadi antara acara sukan yang dinanti-nantikan dalam kalendar golf dan media negara, menyatukan komuniti tradisional serta digital dalam satu pertandingan yang mampu meninggalkan impak berkekalan.






Add Comment