Antarabangsa Terkini

Desaru Coast dan Boxxtomoi Asia Melancarkan Coastal Combat 2026

Acara ini akan terus mempromosikan Desaru Coast dan Johor sebagai destinasi utama pelancongan sukan serantau.

DESARU Coast, dengan kerjasama Boxxtomoi Asia, bakal menghangatkan arena sukan dan hiburan Malaysia dengan Coastal Combat 2026, sebuah acara sukan seni Muaythai antarabangsa bakal berlangsung pada bulan Januari membuka tirai kalendar kempen Visit Johor 2026.

Inisiatif pelancongan sukan baharu ini mengukuhkan lagi kedudukan Desaru Coast sebagai destinasi pelbagai sukan dan acara bertaraf serantau.

Menggabungkan aksi sukan Muaythai dengan keindahan resort persisir pantai, Coastal Combat 2026 menyerlahkan kemampuan Desaru Coast menganjurkan acara sukan antarabangsa, program korporat dan pengalaman destinasi, semuanya dalam satu lokasi.

Direka sebagai festival hujung minggu yang mesra keluarga. Acara ini turut menawarkan aktiviti dan hiburan sesuai untuk pelbagai peringkat umur sekaligus menjadikan Desaru Coast sebagai lokasi pilihan MICE dan acara festival yang mempunyai tarikan menyeluruh.

Bakal disertai barisan atlet dari lima buah negara bagi acara utama Coastal Combat 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 23 – 24 Januari 2026, Dengan jangkaan capaian tontonan sehingga 300,000 penonton di Youtube.

Acara ini akan terus mempromosikan Desaru Coast dan Johor sebagai destinasi utama pelancongan sukan serantau. Inisiatif ini selaras dengan hala tuju Visit Johor 2026 menjadikan Johor sebagai pemacu utama pelancongan sukan dan acara antarabangsa, ia memperkukuhkan reputasi Desaru Coast sebagai hab dinamik untuk sukan, gaya hidup dan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Desaru Coast, Izrin Hashim berkata, bersempena menyambut Visit Johor 2026, Coastal Combat menandakan hala tuju baharu yang lebih berani bagi Desaru Coast.

“Kami telah membuktikan keupayaan kami melalui acara global seperti L’Etape by Tour de France selama dua tahun dan Desaru Coast Multisport Festival by IRONMAN, yang terus menarik penyertaan dari Eropah, Timur Tengah dan seluruh ASEAN.

“Kini, kami memperluaskan momentum itu ke arena sukan tempur. Dengan lokasi bersepadu dan infrastruktur hospitaliti yang kukuh, Desaru Coast bersedia menjadi pentas penting di rantau ini untuk acara antarabangsa multi-sport danMICE,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Muaythai Malaysia, Datuk Paduka Shahnaz Azmi menjelaskan Coastal Combat merupakan langkah penting bagi perkembangan Muaythai di Malaysia.

“Sebagai badan pentadbir kebangsaan, Persatuan Muaythai Malaysia menyokong usaha-usaha yang mengangkat
martabat atlet kita, membina laluan bakat yang lebih kukuh, serta membantu memajukan Muaythai Malaysia di pentas antarabangsa.

“Apa yang dibangunkan oleh Boxxtomoi Asia bukan sekadar satu lagi acara, ia merupakan platform yang diselia dan distrukturkan dengan baik, berpaksikan masa depan dan sejajar dengan komitmen kami terhadap integriti, kebajikan atlet dan pembangunan jangka panjang.

“Kerjasama ini menandakan bab baharu buat Muaythai Malaysia, di mana sukan, profesionalisme dan
semangat kebangsaan bergerak maju bersama,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment