Bola Sepak Terkini

Syarikat terkemuka kandungan digital dan media jalin MOU dengan PT Athletic FC

Pembinaan kandungan interaktif serta kempen media sosial yang direka khas untuk menarik lebih ramai peminat muda.

PASUKAN  yang dilimpahi bekas pemain kebangsaan dan negeri, Putrajaya Athletic Football Club (PT Athletic FC) melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Trendztok Creative Sdn Bhd, sebuah syarikat kreatif yang terkemuka dalam bidang pengurusan kandungan digital dan media.

Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi aspek pengurusan konten dan media kelab bola sepak tersebut, sekali gus memberi dimensi baharu kepada penglibatan peminat dalam arena digital.

Ketua Pegawai Eksekutif PT Athletic FC, Arzawiyah Ab Rahman berkata, kerjasama ini dijangka akan membuka peluang yang luas kepada PT Athletic FC untuk meningkatkan kehadiran mereka di platform digital seperti TikTok, Instagram, dan YouTube.

“Pada masa sama ia akan memanfaatkan kepakaran Trendztok dalam merangka strategi pemasaran yang lebih kreatif dan berkesan.

“Perjanjian ini turut melibatkan pembinaan kandungan interaktif serta kempen media sosial yang direka khas untuk menarik lebih ramai peminat muda, seterusnya mengukuhkan jenama PT Athletic FC di persada sukan bola sepak tempatan dan antarabangsa,” ujarnya pada Majlis menandatangani MOU di ibu pejabat Trendztok.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengasas Bersama serta Ketua Pegawai Operasi Trendztok Creative Sdn Bhd (Trendztok), Farouk Rizal Mat Nori.

Arzawiyah berkata, kerjasama ini adalah langkah yang sangat penting dalam memperluaskan capaian PT Athletic FC ke seluruh komuniti Putrajaya dan juga Malaysia.

“Dengan bantuan Trendztok, kami yakin dapat menyajikan kandungan digital yang lebih menarik dan relevan untuk peminat kami,” katanya.

Sementara itu, Farouk Rizal memaklumkan pihaknya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan PT Athletic FC.

“Kami melihat potensi besar dalam kelab ini dan berasa teruja untuk berkerjasama dengan mereka dalam meningkatkan penglibatan peminat melalui pengurusan kandungan yang lebih inovatif dan dinamik.

“Trendztok komited untuk membawa pengalaman bola sepak ke tahap yang lebih tinggi melalui platform digital,” jelasnya.

Menerusi MoU ini, kedua-dua pihak berharap dapat memaksimumkan kehadiran digital PT Athletic FC, sekaligus memperkasakan interaksi dengan komuniti sukan bola sepak serta meningkatkan nilai komersil kelab dalam industri sukan negara.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading