PERSEKUTUAN Bola Sepak ASEAN (AFF) mengagumi usaha FAM diatas kejayaan melengkapkan fasa pertama Peta Hala Tuju F:30 iaitu membina asas yang kukuh dalam aspek pengurusan, pertandingan, modal insan dan pembangunan infrastruktur.
Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth menghamburkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin diatas kejayaan tersebut.
“Setinggi-tinggi tahniah kepada dan FAM atas kejayaan melengkapkan fasa pertama Peta Hala Tuju F:30 iaitu membina asas yang kukuh dalam aspek pengurusan, pertandingan, modal insan dan pembangunan infrastruktur.
“Saya juga amat mengagumi kesemua pemegang taruh bola sepak di Malaysia atas hasil kerja yang cemerlang di Fasa 1 terutama dalam mengatasi impak pandemik yang melanda, iaitu satu situasi dan cabaran yang tidak pernah kita alami sebelum ini,” katanya pada majlis pelancaran fasa kedua Peta Hala Tuju F:30 FAM bagi tahun 2023-2026 di Hotel Dorsett Grand Subang.
Majlis pelancaran fasa kedua Peta Hala Tuju F:30 itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Bersempena pelancaran Pelan Strategik 2 F:30 itu, Hamidin telah membentangkan rumusan pencapaian yang telah berjaya direkodkan di sepanjang Pelan Strategik 1 iaitu bagi tahun 2019-2022.
Antaranya ialah, kejayaan skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon layak ke Piala Asia 2023, kejayaan skuad Harimau Malaya B-19 menjuarai Kejuaraan B-19 AFF 2022 di Indonesia, dianugerahkan Keahlian Perak di bawah Piagam Akar Umbi AFC pada 2019 serta melaksanakan pemulihan kesemua liga bola sepak kebangsaan di bawah FAM selepas pandemik COVID-19.
Tegas Hamidin, dia meluahkan rasa teruja beliau untuk melihat Pelan Strategik 2 F:30 ini dapat diteruskan dengan jayanya bagi tahun 2023-2026.
“Pelan Strategik 1 yang bermula pada 2019 telah menyasarkan untuk mewujudkan eko-sistem bola sepak yang stabil menerusi tadbir urus yang baik, pertandingan dan pembangunan dari segi modal insan dan infrastruktur.
“Mewakili pihak FAM, saya ingin meluahkan rasa terima kasih kepada ahli-ahli gabungan FAM serta badan induk bola sepak iaitu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan AFF atas sokongan yang telah dizahirkan terhadap usaha kami untuk membangunkan arena bola sepak negara.
“Dengan pelancaran fasa kedua Peta Hala Tuju F:30 ini, kami (FAM) akan memastikan matlamat untuk menguasai ASEAN diteruskan,” fujarnya.
Bagi Pelan Strategik 2 F:30 ini, FAM sebagai badan induk bola sepak di Malaysia akan memberi fokus terhadap tiga teras utama iaitu, perkembangan jenama menerusi penajaan dan kolaborasi bersama syarikat swasta, penumbuhan permainan dengan memperluaskan kolam pemain di dalam negara selain memperkuatkan lagi skuad kebangsaan serta memperkasakan organisasi dengan pendekatan inovatif.
Terdahulu, peta hala tuju FAM dengan tempoh 12 tahun itu (2019-2030) yang dilancarkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino pada 31 Oktober 2018 dibahagi kepada tiga pelan strategik, iaitu fasa pertama dari tahun 2019 hingga 2022 untuk membina asas yang kukuh dari sudut tadbir urus, pertandingan dan pembangunan modal insan serta infrastruktur, disusuli fasa kedua (2023-2026) mencapai peringkat Asia, disudahi fasa ketiga (2027-2030) bertujuan melahirkan sebuah pasukan kebangsaan yang mencecah taraf dunia.
Sementara itu, Hannah Yeoh menyifatkan FAM telah melakukan pelbagai usaha dalam membangunkan naratif yang kukuh serta koheren untuk pelan strategik yang utuh.
“Ini bukanlah sesuatu yang mudah dan ia perlu membabitkan pemegang taruh dari dalam dan luar organisasi,” katanya.
Add Comment