Permotoran Terkini

MAM jalin kerjasama dengan IKBN

MAM sentiasa berhubung rapat dengan KBS dan ahli-ahli gabungan MAM dalam memainkan peranan menaiktaraf dan menyelia aktiviti-aktiviti sukan permotoran dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat antarabangsa yang memberi kesan dan impak kepada anak muda dan belia.

Razlan
Razlan berucap pada program MAM Motorsports Youth Session di KBS, hari ini.

PERSATUAN Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan pasukan CryptoDATA RNF MotoGP telah menjalankan satu inisiatif pra-acara untuk memupuk bakat- bakat masa depan dalam dunia permotoran yang merangkumi pelbagai aspek.

Menerusi kerjasama ini MAM bersama pasukan CryptoDATA RNF MotoGP bakal bekerjasama dengan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mengenali pelajar cemerlang yang akan diberi peluang mempelajari lebih dekat bersama pasukan ini pada ‘Sepang Test 2024’ nanti.

Program yang dianjurkan oleh MAM ini telah menyediakan peluang unik kepada pelajar- pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk mendapat pengalaman menyeluruh khususnya sukan permotoran 2-roda iaitu melalui Kejohanan MotoGP Dunia iaitu sesi interaktif bersama ahli pasukan serta pelumba muda Sepanyol, Raul Fernandez dari pasukan CryptoDATA RNF MotoGP .

Pemilik dan Prinsipal Pasukan CryptoDATA RNF MotoGP, Dato’ Ahmad Razlan Ahmad Razali menjelaskan sejak penglibatannya  dalam dunia permotoran dari zaman SIC hingga sekarang, dia  sentiasa sokong untuk mengadakan program seperti ini.

“Bukan sahaja ia dapat memupuk minat lebih ramai belia dalam sukan permotoran malah memberi inspirasi untuk mereka melihat Kejohanan Dunia sebagai sebuah peluang untuk meningkatkan skil dan kerjaya mereka.

“Kini, sebagai pemilik pasukan MotoGP, saya dapat memberi lebih banyak pengalaman yang berharga buat mereka, dengan adanya mekanik negara seperti Habib Fuad dan juga pelumba dunia Raul Fernandez, sedikit sebanyak ini dapat memberi pendekatan dan menyediakan pelajar-pelajar untuk peluang kerjaya hingga ke peringkat dunia.

“Saya ingin berterima Kasih kepada MAM dan KBS kerana menjayakan acara ini untuk kami serta rakan niaga dari Aprilia Malaysia, Castrol dan RCB yang turut hadir untuk menyokong,” katanya pada program MAM Motorsports Youth Session di KBS, hari ini.

Berlangsung hari ini di Menara KBS, program ini dihadiri oleh lebih kurang seratus pelajar dari IKBN, Jitra Kedah yang fokus kepada bahagian mekanikal dua roda serta pelajar IKBN Sepang. Selain itu, program ini dihadiri oleh pelumba Negara Zulfahmi Khairuddin dan pelumba- pelumba muda Negara dari kejohanan FIM MiniGP Malaysia, Kejohanan Minibike Malaysia, Kejohanan Mini Cup Prix dan pemilik-pemilik motosikal jenama Aprilia yang merupakan jentera yang diguna oleh pasukan CryptoDATA RNF MotoGP.

Untuk rekod, sebagai badan Induk sukan permotoran Negara, MAM telah aktif sejak tahun 2009 dengan menjalankan dan membantu program-program pembangunan akar umbi Sukan Permotoran Negara.

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d