Bola Sepak Lain-Lain

Penyokong Perak didenda, mengaku merusuh di stadium


Berlaku pergaduhan di antara penyokong Perak FC dan Selangor FC di Stadium Perak pada Sabtu lalu.

Mahkamah Majistret Ipoh mendenda tiga lelaki masing-masing pada Selasa selepas mengaku salah merusuh semasa perlawanan bola sepak Liga Super antara Perak FC dan Selangor FC pada Sabtu lalu.


Majistret S Punitha menjatuhkan hukuman tersebut kepada Muhammad Aiman Firdaus Badrul Hisam, 21; Mohamad Amirul Asnil Mat Pandir, 26 dan Muhammad Hayyan Sufi Mohd Sabri, 20, selepas membuat pengakuan setelah pertuduhan dibacakan kepada mereka.


Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiganya secara bersama melakukan kesalahan merusuh di Stadium Perak sekitar jam 9.17 malam, Sabtu lalu dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.


Sementara itu, dalam prosiding di mahkamah sama, seorang lagi remaja lelaki bawah umur berusia 18 tahun turut mengaku bersalah bagi pertuduhan sama.

Mahkamah membenarkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dalam kalangan ibu bapa atau penjaga dan menetapkan kes disebut semula pada 28 Jun depan bagi mendapatkan laporan akhlak dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nasrul Hadi Abdul Hadi manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: