Komentar Olahraga Terkini

PENCAPAIAN TERBURUK TAPI KITA TAK GAGAL?


Foto: Bernama

Bicara Otai Sukan

Oleh Dato Dr Pekan Ramli

Pencapaian terburuk, tapi kita tak gagal. Pening juga saya bila mendengar rumusan pencapaian kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Sea Kemboja yang baru berakhir. Takrifan media sukan dan peminat sukan negara pastinya kepada dua indeks pencapaian prestasi utama iaitu sasaran 40 emas yang tidak tercapai (hanya dapat 34 emas) dan kedudukan Malaysia makin teruk di tempat ke tujuh keseluruhan buat kali pertama dalam sejarah Sukan Sea sejak 1959.

Tak perlulah nak berbahas tentang fakta atlet muda pertama kali sertai Sukan Sea berjaya sumbang emas. Memang inilah sukan untuk atlet muda di rantau Asia Tenggara memulakan kerjaya mereka dengan pingat emas sebelum mengorak langkah lebih maju.

Fakta tentang banyak pingat perak dan gangsa juga disumbangkan kategori atlet yang sama adalah perkara biasa dalam temasya Sukan Sea ini. Harap-harap mereka ini nanti masih aktif dan dapat menukar warna pingat di Thailand 2025 nanti. Cuma terlupa nak tanya, berapa ramai  atlet muda (atlet yang sama) yang menang Perak di Vietnam dulu dapat pingat emas di Kemboja ya? Ini disebut juga waktu rumusan selepas pencapaian buruk di Sukan Sea Hanoi Vietnam dulu.

Sumber: Majlis Sukan Negara Malaysia

Jangan bangga sangat dengan data tersebut. Pingat perak di Kemboja belum tentu bertukar ke pingat emas di Thailand nanti. Banyak faktor perlu diambilkira. Persekitaran tentang kerjaya atlet ini ada pelbagai faktor penolak dan penariknya. Data yang dilihat relevan itu boleh menjadi ralat dalam sekelip mata. Bab pencapaian atlet ini kita tak boleh buat unjuran macam produksi kilang roti atau barangan elektronik. Prestasi atlet tidak sama seperti mesin.

Pelbagai alasan atau fakta dibentangkan termasuklah ketidakstabilan politik kerana kerap bertukar kerajaan sebelum ini antara punca prestasi sukan juga merudum. Bagi saya sepatutnya tidak begitu kalau sukan itu tidak dipolitikkan. Atau mungkin kenyataan itu untuk memberitahu sesuatu tentang kerajaan sekarang, entahlah…..

Tegar betul orang kita bila bab-bab begini untuk mengaku kegagalan. Ada sahaja alasan untuk dipertahankan atau menutup kelemahan. Itulah bezanya negara kecil yang maju dan berjiwa besar dengan negara besar yang berhati kecil tetapi berasa sudah terlalu maju di hadapan.

Foto: Majlis Sukan Negara Malaysia

Beginilah, misi kita memang gagal, malah dikira memalukan. Itulah yang terjadi sekali lagi kepada pencapaian kontinjen Malaysia di Temasya Sukan SEA Kemboja yang berakhir semalam. Bibit-bibit kegagalan sebenarnya sudah dirasakan kerana pengumuman sasaran pingat ketika itu seiring dengan pelbagai justifikasi awal atau lebih dilihat oleh pemerhati dan peminat sukan sebagai alasan-alasan yang sudah disediakan terdahulu sebagai jawapan kepada kegagalan yang bakal berlaku.

Apakah kita harus saling menyalahkan antara satu sama lain. Siapakah antara pemegang taruh yang harus dipersalahkan? Atau adakah ada di antara pemegang taruh yang berjiwa besar dan bersedia bertanggungjawab dengan kegagalan ini. Apa nak hairan, itu bukan budaya kita. Kita tidak harus tiru prinsip orang Jepun atau Korea. Bila gagal mereka akan letak jawatan. Prinsip orang sukan kita ini lain, biasanya kita ini seperti lagu Bangau oh Bangau….

 ‘Oh bangau oh bangau, kenapa engkau kurus? bagaimana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul’.

‘Oh ikan oh ikan, kenapa engkau tak timbul? bagaimana aku nak timbul, rumput panjang sangat’;

dan hinggalah bait akhir…

‘oh nasi oh nasi, kenapa engkau mentah? Bagaimana aku tak mentah, kayu api basah.

Ada sebab saya ingin kongsikan coretan saya ini. Ini bukan soal capai sasaran pingat emas atau tidak, atau pencapaian terburuk atau tidak atau jawapan kepada pelbagai persoalan tentang pencapaian kontinjen Malaysia. Tetapi ini soal tentang jatidiri bangsa kita yang sepatutnya kita perkukuhkan dengan sukan sebagai platform paling utama.

Sumber: Majlis Sukan Negara Malaysia

Pencapaian dalam sukan ini sebenarnya refleks kepada jatidiri bangsa kita. Hebat kita dalam sukan mencerminkan ciri-ciri yang dimiliki atau dikaitkan dengan kehebatan sesuatu bangsa itu. Antaranya sifat berdaya saing yang tinggi, berdisiplin, tidak mudah mengaku kalah, bijak mengatur strategi dan pelbagai kehebatan lain. Maka oleh sebab itulah negara-negara besar dan maju bekerja keras untuk memastikan kejayaan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik itu sebagai penanda aras utama mereka dengan negara-negara lain.

Pengukuhan jatidiri sesuatu bangsa itu sangat penting. Umpamanya Korea Selatan menjadikan setiap kali menentang sesuatu pasukan itu ibarat mereka akan bertempur dengan musuh utama mereka Korea Utara. Mengapa pula pasukan ragbi ‘All Blacks’ setiap kali sebelum turun menentang pasukan lawan mereka memperkukuhkan jatidiri mereka, kekuatan dalaman diri agar digeruni oleh lawan menerusi acara simbolik spiritual iaitu ‘Haka’. Tidak lain tidak bukan inilah identiti berbilang bangsa dalam pasukan ragbi New Zealand yang ditonjolkan hingga menjadi ikutan kepada pasukan lain.

Mengapakah kerajaan menghabiskan berjuta-juta ringgit untuk memastikan ada rakyat kita dapat menawan puncak Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia. Mengapakah kerajaan bersungguh-sungguh menyokong projek rakyat kita untuk berenang menyeberang Selat Inggeris. Begitu juga dengan usaha ekpedisi solo ke khutub utara. Semua ini sebenarnya untuk menunjukan kepada dunia bahawa jatidiri anak bangsa kita juga hebat seperti bangsa-bangsa lain di dunia.

Begitu juga pembabitan dalam sukan, kita tidak boleh bersikap sambal lewa walaupun cuma persaingan di tahap serantau sahaja, bukan Sukan Asia atau Sukan Olimpik. Kita perlu mencontohi prinsip bersukan di Australia, dalam latihan biasa pada waktu petang sekalipun, anda boleh patah kaki seperti yang berlaku kepada bekas pelajar saya yang menyambung pengajian di sana. Saya juga pernah menyaksikan bagaimana seriusnya setiap pemain di sana beraksi untuk kelab mereka walaupun hanya aksi persahabatan ketika pasukan bolasepak Selangor mengadakan latihan pra-musim di Perth pada 2005.

Malangnya, prinsip kita terhadap sukan ini nampaknya tidak sekukuh negara-negara maju yang lain termasuk jiran terdekat kita Singapura. Mereka jauh lebih kecil, tetapi hanya dari sebuah kolam renang atlet mereka menuai 22 pingat emas berbanding hanya 1 emas dari perenang kita. Dari 6 emas acara lawan pedang Singapura menyapu 5 pingat emas. Tambahan beberapa pingat lagi dalam acara olahraga umpamanya mereka telah mengatasi pencapaian keseluruhan 34 pingat emas Malaysia. Inilah gambaran sebuah negara maju, bumi yang tidak sebesar mana tetapi bukan kuantiti menjadi kebanggaan tetapi kualiti yang mereka persembahkan.

Jelas kepada kita bahawa pencapaian dalam sukan oleh sesebuah negara itu boleh menjadi satu indikator kepada taraf sebuah negara maju. Ia mempunyai perkaitan dengan program pembangunan sukan yang berterusan, terurus dan terancang, mempunyai tadbir urus yang cekap, program latihan yang komprehensif, kaedah kejurulatihan yang sentiasa segar dan sistematik, pengunaan teknologi canggih, pencarian bakat serta pertandingan yang kompetitif, hala tuju sukan yang jelas, sokongan khidmat kepakaran sains sukan, pengurusan sukan serta sokongan daripada pihak korporat dan kerajaan. Jika seluruh eko-sistem ini bersepadu barulah pencapaian sukan sesebuah negara itu akan meningkat.

Namun pada waktu yang sama kita perlu perbetulkan dahulu teras utama dalam diri atlet kita sendiri. Adakah mereka benar-benar jujur sepenuh hati berjuang demi lencana di dada pada setiap kali mereka turun beraksi di gelanggang. Adakah setiap kali mereka turun beraksi minda mereka masih dibelenggu dengan pelbagai persoalan dan kebimbangan. Susah juga untuk melihat atlet-atlet kita yang menangis teresak-esak apabila tewas dalam sesuatu pertandingan berbanding atlet-atlet negara lain. Seolah-olah tewas itu perkara biasa bagi mereka dan tiada apa yang perlu dikesalkan.

Rombak besar-besaran cara kita menguruskan sukan negara. Mari kita perbetulkan sikap kita. Mari kita ubah lanskap sukan negara kita. Mari kita perbetulkan eko sistem sukan negara kita. Jangan sampai nanti kita berada di bawah Myanmar, Brunei, Laos dan Timor Leste. Kita sepatutnya berada sebaris dengan Thailand, Vietnam, dan Indonesia dan bukan di bawah Singapura, Fillipina dan Kemboja. Apatah lagi sebagai sebuah negara yang memiliki pelbagai rupa bangsa dan suku kaum. Ada Melayu, Cina, India, Sikh, 18 suku kaum orang asli, Jahai, Temiai, Jakun dan lain-lain, 102 suku kaum di Sarawak, Iban, Bidayuh, Melanau, Kabit dan sebagainya, 33 suku kaum di Sabah, Kadazan, Bajau, Murut dan lain-lain. Sayang sekali, kelebihan ‘material’ yang kita miliki ini tetapi tidak memberi kekuatan kepada kita dalam sukan. Jangan berulang lagi di Bangkok pada 2025 nanti.

 

 

 

 

 

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: