Bola Sepak Harimau Malaya Terkini

Cameron Ng ketua jurulatih skuad bola sepak B-20 wanita


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM)  mengumumkan Cameron Ng sebagai ketua jurulatih skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan yang baharu.

Pemilihan Cameron itu dibuat selepas perbincangan serta penilaian menyeluruh dilakukan bersama di antara Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell dan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Dato’ Suraya Yaacob.

Menurut Scott, selepas berkhidmat selama tiga tahun bersama FAM sejak 2020 sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM, Cameron telah menunjukkan kredibilitinya sebagai seorang jurulatih menerusi pelbagai aktiviti pembangunan pemain yang telah dijalankan oleh beliau.

“Seperti yang kita tahu, Cameron bukan sahaja aktif dalam program-program pembangunan pemain tetapi beliau juga adalah salah seorang instruktur untuk Unit Pendidikan Kejurulatihan FAM yang dikendalikan oleh Lim Kim Chon.

“Beliau telah menunjukkan kesungguhannya di dalam kejurulatihan menerusi program-program akar umbi dan komitmen seperti inilah yang amat diperlukan oleh skuad bola sepak B-20 wanita kebangsaan terutama sekali dengan kempen Kelayakan Piala Asia B-20 Wanita 2024 yang akan berlangsung bulan hadapan.

“Komitmen Cameron juga boleh dilihat sewaktu beliau membantu Ketua Jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi pada sesi percubaan dan pemilihan pemain baru-baru ini.

“Dengan kerjasama di antara Soleen dan Cameron yang sentiasa bertukar idea dan pendapat dibelakang tabir, saya berharap ia dapat mewujudkan persekitaran yang lebih profesional serta positif untuk skuad bola sepak wanita kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, pelantikan Cameron sebagai ketua jurulatih skuad muda Malayan Tigress turut disambut baik oleh Soleen.

“Cameron mempunyai pemahaman tinggi mengenai sistem bola sepak moden dan kualiti itu amat diperlukan bagi membentuk pasukan yang kuat dan lebih kompetitif.

“Kebolehan Cameron dalam bidang kejurulatihan ini boleh dilihat menerusi komitmennya terhadap pembangunan pemain dan pengalamannya sudah tentu dapat diterapkan di dalam skuad Malayan Tigress B-20,” kata Soleen.

Biarpun telah dilantik sebagai ketua jurulatih skuad B-20 wanita kebangsaan, Cameron masih tetap akan meneruskan tugasnya sebagai Ketua Unit Akar Umbi FAM.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading