PRESIDEN Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyantuni kunjungan hormat Hamidin yang menyembah maklum perihal perkembangan semasa bola sepak negara selain mengucapkan tahniah dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA bagi penggal 2023-2027 pada 1 Februari lalu.
“Tuanku menyifatkan kejayaan saya dipilih sebagai Ahli Majlis FIFA ini adalah sesuatu yang unik dan luar biasa,
“Malah Tuanku menitahkan saya menjadikan peluang ini bukan sahaja sebagai platform mengembangkan kerjaya tetapi turut dijadikan nilai tambah dalam bola sepak Malaysia”, kata Hamidin menerusi kenyataan pada akaun Facebook FAM.
Menurut kenyataan daripada FAM, antara perkara yang ditekankan oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah adalah mengenai stadium baharu Selangor yang akan turut dilengkapi muzium sukan dan bola sepak.
“Tuanku menitahkan saya untuk sama-sama memberi pandangan dan buah fikiran untuk muzium sukan dan bola sepaknya yang akan menlengkapkan lagi stadium baharu nanti.
“Dalam pada itu, Tuanku turut memberi penjelasan mengenai kelengkapan stadium baharu itu dengan turut meminta pandangan AFC dan FIFA untuk nilai tambah dari pelbagai aspek teknikal merangkumi padang dan bilik persalinan,” katanya yang turut ditemani Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman.
Pada pertemuan itu juga, Hamidin turut mengambil kesempatan memaklumkan mengenai usaha membangunkan lagi program bola sepak wanita terutama mengenai Festival Bola Sepak Wanita Serantau FAM yang dijalankan, baru-baru ini.
Turut dibincangkan program akar umbi terutama di Akademi bola sepak Selangor iaitu Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools yang selaras dengan Piagam SupaRimau FAM.
Add Comment