
Pemilik saham majoriti Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mewakili kelab tersebut memohon maaf kepada penyokong yang telah membayar namun tidak dapat menonton pasukan kesayangan menentang Kelantan FC secara dalam talian pada Jumaat.
Menurutnya, beliau memahami perasaan penyokong yang tidak dapat menonton perlawanan tersebut yang mana KDA FC mengatasi Kelantan FC 2-0.
“Kami juga merasai kekecewaan anda. Saya juga aktif menghubungi pihak media KDA FC untuk memulihkan keadaan bila mendapat info dan mesej marah.
“Saya difahamkan bahawa penerimaan masuk ke dalam siaran live adalah dalam tanggungjawab dan bidang tugas FB live. Kedah FC tidak boleh buat apa-apa. Semua sistem dan bandwidth di bawah kawalan mereka,” katanya.
Jelas beliau, berdasarkan data yang diterima, kesemua penonton yang diterima masuk adalah sama dengan jumlah penonton yang tertera dalam FB live.
“Jadi, sesiapa yang dah bayar tetapi tak dapat tonton, pihak kami/FB live akan beri akses untuk siaran akan datang. Data tentang perihal ini ada rekodnya. Jangan bimbang. Hak dan wang anda tidak sia-sia,” ujarnya.
Mohd Daud menasihatkan kepada semua penyokong supaya dapat mendaftar lebih awal di masa hadapan untuk elakkan ‘tergantung’ di waktu puncak.
“Apa salahnya daftar awal-awal kerana setiap yang mendaftar ada IDnya sendiri. Kalau ID tidak berdaftar, memang tak akan dapat tonton. Saya pun dah buat awal-awal supaya tak nak sangkut di Dubai. Lagi frust.
“Moga-moga pengalaman ini tidak melemahkan semangat kita. Perjuangan kita masih panjang. Terima kasih atas kesabaran dan kemaafan atas kegelinciran teknologi,” kata beliau lagi.
Add Comment