
Pengendali baharu Perak FC musim 2023, Lim Teong Kim mahu membawa perubahan struktur kepada cara kelab bola sepak dikendalikan di Malaysia.
Beliau mempunyai pengalaman melatih selama 12 tahun dengan juara Bundesliga 10 kali, pasukan Bayern Munich Bawah 19 tahun dan melatih pemain-pemain seperti Thomas Müller, David Alaba, Toni Kroos & Emre Can.
Pengalaman beliau juga termasuk berkhidmat di Bologna FC, mengendalikan bakat seperti Nicola Sansone dan Roberto Sorano dilihat mampu diaplikasikan dalam skuad The Bos Gaurus pada musim hadapan.
Di peringkat tempatan, beliau pernah memegang jawatan Pengarah Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara pada 2013 dan kemudian pada 2016, dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari
Pengerusi Perak FC, Dato’ Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata sudah tiba masanya untuk kelab itu menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan, dan kami kini telah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang telah ditambah dalam senarai kami,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Teong Kim menandatangani kontrak 2 tahun dengan Perak FC, dimana kelab itu mempunyai pilihan untuk memperbaharui kontrak selama setahun lagi.
Lembaga pengarah Perak FC juga mengucapkan terima kasih kepada ketua jurulatih semasa, Yusri Che Lah atas segala usaha dan kerja keras beliau sepanjang berkhidmat dengan pasukan.
Menurutnya, Yusri akan diberi peranan baru untuk membangunkan skuad B-23 musim depan apabila Teong Kim mengambil alih peranan baharunya sejurus selepas perlawanan menentang Kuching City FC di Stadium Perak pada 17 September ini.
“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.
“Pandangan Encik Lim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada Perak FC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan, ” ujar beliau.
XOX dan Perak FC komited membalas sokongan peminat yang telah menyokong kelab sepanjang masa sukar pada 2022.
Perak FC akan memberikan 10,000 tiket percuma untuk perlawanan terakhir liganya dan peminat juga boleh menuntut kad sim percuma dengan data pramuat sebanyak 18GB.
“Proses tuntutan akan berlangsung di gerai XOX di Stadium Indera Mulia pada 16 dan 17 September 2022, bermula dari 10 pagi hingga 12 malam,” katanya lagi.
Add Comment