
Pasukan yang dibarisi semua pemain tempatan, Petaling Jaya (PJ) City FC menghampakan pendahulu Liga Super 2022, JDT untuk meraih mata penuh apabila mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada malam Khamis.
Jaringan R Kogileswaran pada masa kecederaan babak kedua minit ke-91membantu tuan rumah untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.
PJ City bangkit dua kali daripada ketinggalan kepada JDT yang terlebih dahulu berada di hadapan 0-1 menerusi sepakan penalti Bergson pada minit ke-48 selepas bola terkena tangan pertahanan tuan rumah.
Namun Darren Lok membuktikan dirinya sebagai penyerang tulen kebangsaan apabila menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-73 apabila menjaringkan gol hasil hantaran Mahali Jasuli.
Pemain gantian, Akhyar Rashid kembali meletakkan JDT di hadapan 1-2 pada minit ke-86 untuk menewaskan penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz buat kali kedua.
Kogileswaran muncul wira tuan rumah membantu mengikat JDT 2-2 apabila menguis masuk bola bagi mengelirukan Farizal Marlias selepas PJ City melakukan serangan balas pantas ke kubu pelawat pada minit ke-91.
Keputusan itu menyaksikan JDT terus kekal sebagai pendahulu Liga Super 2022 dengan 43 mata selepas 17 mata manakala PJ City di di tangga ke-10 dengan 17 mata selepas 18 perlawanan.
Add Comment