
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Chiang Mai, Thailand dari 20 hingga 26 September ini bersama tiga pasukan lain iaitu tuan rumah Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago menjadi medan kepada pengendali, Kim Pan Gon untuk memperkemaskan corak permainan Harimau Malaya.
Menurut Pan Gon, peluang berdepan pasukan-pasukan yang lebih baik dan berada pada kedudukan ranking lebih atas itu sudah pasti akan digunakan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi prestasi dan kualiti pasukan negara.
“Selepas berjaya layak ke Piala Asia 2023 pada Jun lalu, kita perlu terus fokus dan memandang ke hadapan dengan permulaan dua perlawanan antarabangsa pada September ini, seterusnya Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 pada Disember untuk perjalanan persiapan bagi menghadapi Piala Asia, tahun depan.
“Selain mahu mendapatkan keputusan positif daripada dua perlawanan di Chiang Mai nanti, saya mahu menggunakan peluang ini untuk memperkemaskan lagi corak dan filosopi permainan ke tahap yang lebih baik dan sempurna,” katanya.
Berbanding Malaysia yang kini di ranking ke-147 dunia, tiga pasukan tersebut berada pada kedudukan lebih tinggi dalam Ranking FIFA dengan Thailand di kedudukan ke-111, Tajikistan ke-108 dan Trinidad & Tobago ke-101 dunia.
Berdasarkan format perlawanan membabitkan empat pasukan ini iaitu secara kalah mati, dua perlawanan separuh akhir akan berlangsung.
Seterusnya, dua pasukan yang menang akan bertemu pada final manakala dua pasukan yang tewas akan beraksi perlawanan penentuan tempat ketiga.
Perlawanan antarabangsa anjuran Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) ini akan diadakan di Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai.
Add Comment