
Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio melihat aksi menentang Terengganu merupakan perlawanan yang sengit walaupun berjaya menang 1-2 di Kuala Terengganu pada Rabu.
Menurutnya, tuan rumah adalah sebuah pasukan yang baik dan bermain bola sepak dengan baik juga.
“Setiap perlawanan adalah berbeza. Meskipun kami bermain dengan corak permainan kami ketika di laman sendiri di Johor, perlawanan di tempat lawan sentiasa memerlukan pendekatan yang berbeza dan kami perlu menukar corak taktikal untuk memastikan kami mendapat mata, yang mana merupakan motif utama buat kami apabila berada di padang.
“Ia bukan suatu perkara biasa di mana sesebuah pasukan menjadi ‘unbeaten’ di tempat lawan untuk 44 perlawanan liga.
“Jadi saya perlu memuji pasukan untuk sebuah pencapaian yang hebat kerana setiap perlawanan di tempat lawan adalah berbeza. Kami mesti berusaha untuk mengekalkan rekod yang luar biasa ini,” katanya yang dipetik melalui laman Facebook Johor Southern Tigers.
Menurutnya, beberapa pemain JDT juga keletihan setelah beraksi enam dari lapan perlawanan terakhir di tempat lawan.
“Kami telah melakukan penggiliran skuad dalam beberapa permainan namun masih ada beberapa pemain yang keletihan seperti Shane Lowry, Shahrul Saad, Fernando Forestieri, Arif Aiman dan beberapa pemain lagi.
“Kami juga mempunyai beberapa pemain seperti Natxo Insa dan Syamer Kutty yang cedera manakala Matt Davies dan Bergson Da Silva baru kembali dari kecederaan,” ujarnya.
Hector berkata, pasukannya akan menggunakan beberapa hari ini untuk pemulihan, persediaan dan perjalanan untuk perlawanan Liga Juara-Juara AFC menentang Urawa Reds di Jepun pada 19 Ogos.
Add Comment