Bola Sepak Terkini

Peluang tamatkan penantian 43 tahun ke Piala Asia


Foto: FAM

Harimau Malaya memerlukan sokongan rakyat Malaysia dengan memenuhi Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk membangkit semangat pemain bagi menewaskan Bangladesh dalam aksi terakhir Kumpulan E pada Selasa.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin berkata, jika kejayaan dicapai, pasukan itu berpeluang mencatatkan sejarah baharu dengan menamatkan penantian 43 tahun ke pentas Piala Asia.

“Harimau Malaya memerlukan sokongan daripada rakyat Malaysia dan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob juga setia turun ke stadium malam esok untuk terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kebangsaan.

“Lupakan aksi dengan Bahrain dan fokus menentang Bangladesh kerana saya kekal optimis peluang kita untuk layak ke Piala Asia masih lagi terbuka di mana tiada istilah buat Malaysia untuk menyerah awal,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa turun menyaksikan sesi latihan pasukan Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Isnin.

Katanya lagi, beliau menggesa barisan pemain cepat bangkit daripada kekalahan di tangan Bahrain dengan memberikan perhatian penuh kepada pertemuan Bangladesh.

“Jadi ayuh penuhi Stadium Nasional dan saya berharap gelanggang malam esok akan menjadi lautan hitam kuning kerana saya yakin elemen pasukan kebangsaan dan penyokong sentiasa menjadikan perbezaan tersendiri dalam aksi perlawanan nanti,” ujarnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading