Pasukan Bangladesh akan turun dengan misi untuk melakukan kejutan pada aksi akhir Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Selasa.
Ketua jurulatihnya, Javier Fernandez berkata, pasukannya akan turun memberikan sengit dalam usaha untuk meraih sesuatu pada aksi tersebut biarpun sedar akan menerima tentangan sengit Harimau Malaya.
“Semua tekanan kepada Malaysia kerana mereka bermain di laman sendiri. Mereka berada di ranking lebih tinggi dan ini peluang untuk mereka mara ke pusingan akhir Piala Asia.
Ini adalah peluang terbaik kami kerana kami fikir sudah mempamerkan persembahan positif selepas dua perlawanan lalu,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.
Jelasnya, Bangladesh masih mempunyai peluang untuk meraih sesuatu pada aksi akhir untuk dihadiahkan kepada penyokong dan juga negaranya.
Kata Fernandez, pasukannya juga akan turun dengan mentaliti positif biarpun sudah terkeluar daripada perebutan tempat ke Piala Asia tahun depan selepas tewas di tangan Bahrain dan Turkmenistan dalam dua aksi sebelum ini.
Pasukan yang berada di tangga ke-188 dunia ini kini berada di tangga tercorot Kumpulan E manakala Malaysia di tangga kedua dengan tiga mata selepas dua perlawanan.
Add Comment