
Harimau Malaya perlu segera melupakan kekalahan tipis 2-1 kepada Bahrain pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu.
Pengendalinya, Kim Pan Gon mengesa anak buahnya segera melupakan kekecewaan kerana masih lagi perlu menghadapi satu lagi perlawanan bertemu Bangladesh pada Selasa.
Menurutnya, sebagai seorang pemain profesional, pemain perlu bangkit segera untuk memberikan tumpuan pada aksi seterusnya.
“Pemain tidak sepatutnya kecewa dengan kekalahan pada perlawanan menentang Bahrain. Mereka perlu lupakan kekalahan ini dan yakin serta fokus untuk perlawanan seterusnya.
“Itulah cara seorang pemain profesional. Kami akan cuba capai sasaran untuk layak ke Piala Asia 2023,” katanya pada sidang akhbar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ketua Jurulatih dari Korea Selatan itu enggan mengulas tindakan Farizal Marlias menerjah pemain lawan sehingga Bahrain dihadiahkan sepakan penalti.
“Saya tidak mahu mengulas kesilapan tersebut. Perkara ini hanya akan dibincangkan oleh barisan kejurulatihan,” ujarnya.
Pan Gon mahu Harimau Malaya segera bangkit bertemu Bangladesh selepas gagal mengutip sebarang mata ketika bertemu Bahrain.
Add Comment