Bahrain bangkit dari ketinggalan untuk mengatasi Malaysia 2-1 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil pada Sabtu.
Pada 15 minit pertama perlawanan tersebut, Malaysia dilihat berjaya mengawal permainan dan mencipta ruang dan hantaran melakukan serangan ke kubu Bahrain.
Beraksi di atas padang basah, kedua-dua pasukan masih mampu beraksi pada tahap baik dan sesekali berbalas serangan untuk mencari gol pendahuluan namun buntu sehingga tamat separuh masa pertama.
Gol yang dicari-cari akhir muncul menerusi Muhamadou Sumareh untuk meletakkan Harimau Malaya di hadapan 1-0 pada minit ke-55 selepas menerima hantaran menarik Khuzaimie Piee.
Namun kegembiraan penyokong negara tidak lama apabila tiga minit kemudian Ali Haram menyamakan kedudukan 1-1 melalui satu serangan pantas yang dilakukan pasukan lawan.
Kesilapan yang dilakukan oleh Farizal Marlias yang melakukan kekasaran ke atas Ali Jaafar Madan dengan menerjah kaki membawa padah apabila lawan diberikan sepakan penalti pada minit ke-81.
Abdullah Yusuf Helal kemudiannya berjaya menyempurnakan sepakan penalti menewaskan Farizal untuk meletakkan Bahrain di hadapan 2-1.
Harimau Malaya kembali mengatur serangan untuk memburu gol penyamaan namun Bahrain berjaya mematikan setiap gerakan serangan yang dicipta oleh pasukan negara dan keputusan tersebut kekal sehingga ke wisel penamat.
Add Comment